Campus

Program Inkubator Perniagaan Kek dan Pastri bagi memperkasa kemahiran keusahawanan pelajar

Berita dan gambar Shah Noor Afizah Ahmad

SINTOK, 6 Ogos 2025: Institut Pembangunan Keusahawanan dan Koperasi (CEDI), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menganjurkan Program Inkubator Perniagaan Kek dan Pastri: Fasa 1 dan Fasa 2 (Teori) yang berlangsung dari 27 Julai hingga 1 Ogos lalu di Bilik Taklimat CEDI, Kompleks Konvensyen UUM.

Seramai 41 pelajar UUM daripada pelbagai bidang pengajian telah menyertai program ini dengan minat yang mendalam terhadap bidang keusahawanan, khususnya dalam industri kek dan pastri.

Timbalan Pengarah CEDI, Dr. Juhaida Abu Bakar berkata, objektif utama penganjuran adalah untuk memperkasakan ilmu pengetahuan dan kefahaman pelajar terhadap aspek teori dan pengurusan perniagaan melalui penglibatan secara langsung dalam sesi latihan yang dirangka.

Menurutnya, antara modul utama yang diketengahkan termasuk Pengurusan Sumber Manusia, Perakaunan dan Kewangan, Asas Keusahawanan dan Penubuhan Syarikat, , Pemasaran Digital, Pengurusan Produk dan Outlet serta Pemantapan Jati Diri dan Kemahiran Keusahawanan.

“Penganjuran program ini selaras dengan aspirasi UUM dan Kementerian Pendidikan Tinggi untuk memperkasakan pelajar dengan ilmu dan latihan praktikal dalam bidang keusahawanan.

“Selain itu, program ini memberi pendedahan kepada dunia sebenar perniagaan agar mereka bersedia menjadi usahawan muda yang berdaya saing,” katanya.

Program ini turut dibimbing oleh tenaga pengajar berpengalaman iaitu Dr. Edora Ismail, Prof. Madya Dr. Muhammad Rosni Amir Hussin, Dr. Muhamad Ali Imran Kamarudin, Ts. Dr. Mathivannan Jaganathan, Prof. Madya Dr. Norashidah Hashim dan Dr. Siti Noormala Jailani.

Inisiatif ini mencerminkan komitmen berterusan UUM dalam menyemai budaya keusahawanan dalam kalangan pelajar ke arah melahirkan generasi usahawan intelektual,berdaya cipta, yang bukan sahaja mampu mencipta peluang perniagaan baharu, malah menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi komuniti dan negara.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button