Campus

Projek SULAM BLIT: Jelajah Rasa@UUM perkasa usahawan kecil melalui iklan digital

Gambar Muhammad Zulakhir Rizduan dan Siti Nurkhadijah Aisyah

SINTOK, 8 Julai 2025: Projek Service Learning Malaysia – University for Society (SULAM) bagi kursus SBLKK2053 Retorik telah dilaksanakan menerusi program Projek SULAM BLIT: Jelajah Rasa@UUM, yang berlangsung dari 15 hingga 26 Jun lalu.

Program ini merupakan inisiatif berimpak tinggi di bawah Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah (SLCP), melibatkan seramai 37 pelajar daripada program Sarjana Muda Sastera Linguistik dan Teknologi Maklumat (BLIT), seorang pensyarah, serta sembilan pengusaha kecil makanan dan minuman sekitar UUM.

Penasihat projek merangkap Pensyarah kursus, Dr. Nasihah Hashim berkata, dengan pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman (experiential learning), pelajar telah mengaplikasikan kemahiran retorik pemujukan dalam komunikasi yang dipelajari dalam bilik kuliah kepada penghasilan iklan digital untuk pengusaha kecil makanan and minuman.

Iklan-iklan ini dimuat naik secara aktif di platform media sosial bagi membantu mempromosikan dan memperluas capaian produk-produk tempatan di dalam dan luar kampus.

“Kami berharap pendekatan ini bukan sahaja membantu pengusaha dari sudut pemasaran, tetapi juga memberi ruang kepada pelajar untuk memanfaatkan ilmu secara praktikal dan bermakna,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Program, Nur Mashitah Abu Jabbar berkata, Jelajah Rasa@UUM membuktikan bahawa pelajar mampu menjadi ejen perubahan melalui penglibatan aktif dalam program berasaskan komuniti.

Majlis ini telah dirasmikan oleh Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi, SLCP, Dr. Sharifah Fazliyaton Shaik Ismail, dan turut dihadiri oleh Pengerusi Program BLIT, Prof. Madya Dr. Mashetoh Abdul Mutalib, dan pensyarah Unit Bahasa, Sastera dan Budaya Melayu (UBSBM).

Pensyarah UBSBM, Ainal Akmar Ahmad berkata,“Saya teruja melihat kreativiti dan kesungguhan pelajar dalam menyampaikan mesej melalui iklan-iklan ini.

“Ia bukan sekadar tugasan akademik, tetapi satu bentuk sumbangan yang nyata kepada komuniti kampus,” katanya.

Program ini bukan sahaja menjadi jambatan antara pelajar dan komuniti usahawan, malah membuka ruang kolaborasi antara pihak universiti dan alumni. – Tanushri Lachumanan

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button