RMC terima kunjungan rakan seperjuangan dari Indonesia
Gambar Pusat Pengurusan Penyelidikan (RMC)
SINTOK, 8 September 2025: Pusat Pengurusan Penyelidikan (RMC) Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menerima kunjungan daripada delegasi Lembaga Penelitian dan Pengabdian kepada Masyarakat (LPPM), Universitas Muhammadiyah Sumatera Utara (UMSU), Indonesia, baru-baru ini.
Delegasi yang disertai 12 orang itu diketuai oleh Ketua LPPM, Prof. Madya Dr. Muhammad Fitra Zambak telah disambut oleh Timbalan Pengarah RMC, Dr. Mohamad Sabri Sinal selaku wakil Pengarah RMC di Anjung Tamu sebelum diteruskan dengan sesi taklimat ringkas di RMC.
Dr. Mohamad Sabri berkata, kedua-dua pihak telah menzahirkan komitmen untuk memperkukuh jalinan kerjasama, bukan sahaja dalam bidang penyelidikan, penerbitan dan perundingan, malah turut membuka peluang baharu dalam aspek akademik serta program mobiliti pelajar.
Sebagai badan penyelaras di UMSU, LPPM berperanan menyokong pembangunan serta pengurusan penyelidikan dan khidmat masyarakat. LPPM juga bertanggungjawab menyelaras, memantau dan menilai pelaksanaan aktiviti penyelidikan yang dijalankan secara individu atau melalui kerjasama dengan institusi lain, selain mengurus penerbitan jurnal ilmiah sebagai medium akademik rasmi universiti tersebut.
UMSU yang berpusat di Medan, Indonesia, menawarkan 31 program sarjana di bawah sembilan fakulti serta 14 program pascasiswazah melalui sekolah pascasiswazah dengan sokongan lebih 1,100 tenaga pengajar.
Universiti ini telah menerima akreditasi “A” daripada Badan Akreditasi Nasional Perguruan Tinggi (BAN-PT), menjadikannya universiti swasta pertama dan satu-satunya di Sumatera yang menerima pengiktirafan tersebut.
Selain pencapaian akademik, UMSU turut mengendalikan Balai Cerap Astronomi yang digunakan bagi penentuan takwim Islam, sekali gus mencerminkan kekuatan universiti ini dalam menggabungkan keilmuan moden dengan nilai keagamaan. – Suhailawati Mohd Shamsudin