Campus

RMD terima kunjungan NIOSH Wilayah Utara teroka potensi kerjasama strategik

Gambar Bahagian Pengurusan Risiko (RMD)

SINTOK, 13 April 2026: Universiti Utara Malaysia (UUM) menerima kunjungan muhibah daripada wakil National Institute of Occupational Safety and Health (NIOSH) Wilayah Utara dalam satu sesi yang berlangsung di kampus UUM, baru-baru ini.

Delegasi NIOSH diketuai oleh Pengurus NIOSH Wilayah Utara, Rosliza Osman bersama Ketua Pejabat NIOSH Alor Setar, Asrul Amri Ismail.

Kunjungan tersebut telah disambut oleh Pengarah Bahagian Pengurusan Risiko (RMD), Prof. Madya Dr. Rohana Abdul Rahman bersama pegawai-pegawai berkaitan.

Dr. Rohana berkata, kunjungan ini bertujuan untuk memulakan perbincangan awal bagi meneroka potensi kerjasama strategik antara kedua-dua pihak dalam bidang keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP), khususnya dalam aspek pembangunan kompetensi dan peningkatan keupayaan organisasi.

“UUM sentiasa terbuka untuk menjalin kerjasama strategik dengan agensi berkaitan dalam memperkukuhkan agenda keselamatan dan kesihatan pekerjaan melalui pelaksanaan program-program berimpak tinggi yang memberi manfaat kepada warga universiti dan pihak berkepentingan,” katanya.

Antara perkara yang dibincangkan termasuk cadangan pelaksanaan kursus-kursus kompetensi KKP yang bersesuaian dengan keperluan semasa serta potensi penganjuran seminar KKP secara bersama sebagai platform perkongsian ilmu, amalan terbaik dan perkembangan terkini dalam bidang keselamatan dan kesihatan pekerjaan.

Sementara itu, Rosliza berkata, pihaknya berhasrat untuk berkongsi kepakaran dalam bidang KKP kepada staf dan pelajar UUM melalui pelaksanaan program latihan serta pembangunan kompetensi secara kolaboratif.

Kunjungan ini mencerminkan langkah proaktif kedua-dua pihak dalam merintis kerjasama yang berpotensi menyumbang kepada pembangunan budaya kerja selamat dan sihat secara berterusan. – Muhammad Haniff Muhamad Tarmizi

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button