Campus

SEFB Fest 2025 jadi wadah inovasi, gerbang peluang masa depan!

Gambar M. Syazwi Sholihin

SINTOK, 22 April 2025: SEFB Fest 2025 yang berlangsung meriah selama tiga hari bermula 21 hingga 23 April ini telah dirasmikan oleh Naib Canselor, Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan, semalam.

Dr. Mohd Foad merakamkan ucapan syabas dan tahniah kepada seluruh jawatankuasa penganjur khususnya Kelab-kelab Pelajar di bawah Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan (SEFB) yang telah berjaya menganjurkan karnival berskala besar ini.

“Saya berharap pelajar dapat memanfaatkan sepenuhnya pengalaman yang diperoleh sepanjang penganjuran program ini kerana ia mampu memberi kelebihan dalam menghadapi dunia pekerjaan kelak.

“Saya juga ingin berkongsi pencapaian membanggakan UUM dari segi Graduate Employability (GE) yang menunjukkan peningkatan dari tahun ke tahun, membuktikan graduan UUM semakin mendapat tempat di pasaran kerja,” katanya.

Sementara itu, Dekan SEFB, Prof. Madya Dr. Bakti Hasan Basri berharap pelajar agar tidak melepaskan peluang menyertai pelbagai program yang dianjurkan sepanjang karnival berlangsung.

Menurutnya, SEFB Fest merupakan platform terbaik untuk pelajar memperluaskan jaringan serta menambah pengetahuan di luar bilik kuliah.

Program yang berlangsung selama tiga hari ini menyaksikan pelbagai pengisian menarik seperti Pameran Agensi dan Industri melibatkan penyertaan AKPK, ASNB, KWSP dan lain-lain, pameran kenderaan elektrik (EV) termasuk Proton eMas7, Festival Jualan Makanan, ceramah, bengkel, kempen derma darah serta pelbagai pertandingan interaktif. Kemuncak program adalah acara Night Fun Run dengan penyertaan 500 peserta termasuk penyertaan antarabangsa dari PSU Thailand.

SEFB turut bertuah kerana menerima tajaan hampir RM46,000 bagi penganjuran SEFB Fest 2025, sekali gus menunjukkan sokongan padu pelbagai pihak terhadap inisiatif pembangunan pelajar yang digerakkan oleh pusat pengajian ini. –  M. Khairy Mukhtaruddin

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button