Campus

Semangat ukhuwah SLCP UUM mekar melalui program kongsi rezeki ramadan

Berita dan gambar oleh Zeety Kartini Abdul Hamid

SINTOK, 17 Mac 2026: Bulan Ramadan yang penuh dengan keberkatan terus dijadikan medan oleh warga kerja di Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah (SLCP), Universiti Utara Malaysia untuk menabur bakti serta memperkukuh nilai ihsan melalui penganjuran Program Kongsi Rezeki.

Program yang berpaksikan semangat kebajikan ini telah berjaya dilaksanakan dengan penuh jayanya melalui siri agihan juadah berbuka puasa yang mensasarkan golongan pelajar serta komuniti asnaf di sekitar kawasan Sintok dan daerah berhampiran.

Dekan SLCP, Prof. Madya Dr. Mohamad Khadafi Bin Hj. Rofie, menzahirkan rasa syukur dan bangga atas komitmen tinggi yang ditunjukkan oleh warga pusat pengajian dalam menjayakan inisiatif murni ini. Menurut beliau, program ini bukan sekadar aktiviti bermusim untuk mengisi kalendar Ramadan, tetapi ia merupakan manifestasi falsafah pusat pengajian yang mementingkan keseimbangan antara ilmu tamadun dan amalan kemanusiaan yang praktikal di lapangan.

Beliau menegaskan bahawa usaha murni ini adalah sebahagian daripada tanggungjawab sosial universiti dalam memastikan hubungan antara warga akademik dan masyarakat luar sentiasa terpelihara dengan erat melalui semangat memberi.

Siri program Kongsi Rezeki ini telah bermula seawal 24 Februari 2026 yang lalu di mana tumpuan utama diberikan kepada para pelajar di Pusat Asasi UUM. Pemilihan Pusat Asasi sebagai lokasi yang pertama pengagihan 80 pek makanan adalah sebagai tanda sokongan moral kepada para pelajar agar mereka merasa dihargai dan disantuni oleh warga universiti walaupun berada jauh dari keluarga sepanjang bulan puasa ini.

Seterusnya, Siri pengagihan juga diperluaskan  ke kawasan luar kampus. Kali ini, agihan dilakukan di Madrasah Tahfiz Darul Quran, Changloon pada 5hb Mac 2026 dan Pondok Buluh Nipis, Jitra pada 9hb Mac 2026. Penyerahan 80 pek makanan yang dilakukan secara santai ini mendapat sambutan yang cukup menggalakkan daripada tenaga pengajar dan pelajar. Aktiviti ini juga dilihat sebagai satu medium bagi para staf SLCP untuk berinteraksi secara langsung dengan komuniti.

Prof. Madya Dr. Mohamad Khadafi berharap agar sumbangan kerdil ini dapat menyuntik semangat kepada anak-anak tahfiz untuk terus tekun dalam hafalan mereka. Beliau turut mendoakan agar usaha seluruh warga SLCP ini mendapat keredhaan Allah SWT dan menjadi pemangkin kepada lebih banyak program kebajikan yang berimpak tinggi pada masa hadapan demi kesejahteraan komuniti di dalam mahupun di luar UUM.

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button