Semarak Semangat Merdeka, Jalur Gemilang berkibar bersama warga Pusat Asasi Pengurusan
Gambar Shamsaimi Ezil
SINTOK, 26 Ogos 2025: Universiti Utara Malaysia (UUM) menyemarakkan semangat patriotisme apabila Pusat Asasi Pengurusan (PAP) menganjurkan program “Semarak Semangat Merdeka Asasi 2025” bertempat di pintu utama UUM, pagi tadi.
Program yang bermula seawal jam 8.00 pagi itu turut diserikan dengan kehadiran Naib Canselor, Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan, bersama-sama barisan pengurusan universiti termasuk Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Dr. Mohd Azizuddin Mohd Sani, dan Pengarah Pusat Asasi Pengurusan, Prof. Dr. Muhammad Fuad Othman.
Sebagai simbolik, sesi pengagihan bendera Jalur Gemilang kepada semua kenderaan yang memasuki kampus telah dilaksanakan oleh warga Pusat Asasi Pengurusan.
Inisiatif ini bertujuan menyemarakkan Kempen Kibar Jalur Gemilang, sekali gus memupuk rasa cinta tanah air dalam kalangan warga kampus dan masyarakat.
Dr. Muhammad Fuad berkata, program ini adalah manifestasi sokongan PAP terhadap usaha menyuburkan nilai patriotisme dan kebersamaan dalam menyambut ulang tahun kemerdekaan negara.
Majlis berakhir sekitar jam 9.00 pagi dengan semangat yang diharapkan mampu terus memacu warga UUM dalam mempertahankan kedaulatan negara serta menjulang maruah bangsa. – Nur Izzatul Natasya Raymee Syam (Pelajar Pelatih dari UniMAP)