Campus

SLCP perkukuh jaringan akademia–industri terima sumbangan zakat alumni UUM

Gambar Unit Pembangunan Profesional, SLCP

SINTOK, 16 Mac 2026: Semangat kebersamaan dan keprihatinan terhadap kebajikan pelajar terserlah dalam Majlis Penyerahan Sumbangan Dana Zakat kepada Pelajar Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah (SLCP) yang berlangsung sempena Majlis Serahan Tugas dan Penyerahan Watikah Pelantikan Penjawat SLCP 2026 di EDC UUM, baru-baru ini.

Majlis tersebut menyaksikan sumbangan zakat berjumlah RM5,000 yang disampaikan oleh alumni Universiti Utara Malaysia, Zullkeffle Zainun yang kini berkhidmat sebagai Pengurus Wilayah Kedah/Perlis/Pulau Pinang di Bank Rakyat Alor Setar.

Program ini merupakan sebahagian daripada inisiatif kebajikan yang digerakkan oleh Bahagian Pengkomesialan Strategik dan Pengiktirafan Profesional, Unit Pembangunan Profesional (PDU), SLCP dalam usaha memperkasakan sokongan kewangan kepada pelajar universiti yang memerlukan, di samping memperkukuhkan jaringan kerjasama antara universiti, alumni dan pihak industri.

Majlis penyerahan sumbangan tersebut telah diraikan oleh kepimpinan utama Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah (SLCP) yang diterajui oleh Dekan, Prof. Madya Dr. Mohamad Khadafi Rofie yang menerima sumbangan zakat berkenaan serta meraikan kehadiran penyumbang sebagai tanda penghargaan atas keprihatinan terhadap kebajikan pelajar.

Majlis penyerahan sumbangan tersebut menjadi simbolik kepada hubungan erat antara alumni universiti dan alma mater mereka. Kehadiran Zullkeffle sebagai penyumbang utama mencerminkan komitmen alumni UUM dalam menyumbang kembali kepada komuniti universiti yang pernah menjadi tempat mereka menimba ilmu.

Menurutnya, sebagai alumni UUM, dia amat bersyukur kerana berpeluang kembali ke kampus dan berkongsi sedikit rezeki melalui dana zakat ini.

“Semoga bantuan ini dapat membantu pelajar asnaf membuat persiapan dalam pembelajaran dan menyambut Aidilfitri dengan lebih bermakna,” katanya.

Sementara itu, Dr. Mohamad Khadafi merakamkan penghargaan kepada pihak Bank Rakyat khususnya kepada Zullkeffle atas keprihatinannya terhadap kebajikan pelajar.

Menurutnya, program sebegini amat penting dalam memperkukuhkan jaringan strategik antara institusi pendidikan tinggi, pihak industri serta masyarakat.

“Program ini merupakan contoh terbaik bagaimana jaringan antara institusi pendidikan tinggi, industri dan masyarakat dapat digembleng secara bersepadu bagi memberi manfaat kepada pelajar,” katanya.

Majlis ini diadakan bersekali dengan Majlis Serahan Tugas dan Penyerahan Watikah Perlantikan Penjawat SLCP 2026, menjadikannya satu platform penting bagi meraikan kepimpinan baharu serta memperkukuhkan semangat kerjasama dalam kalangan warga SLCP.

Turut hadir ialah Timbalan Dekan Akademik, Dr. Maizatul Azura Yahya; Pengurus Unit Pembangunan Profesional (PDU), Dr. Noor Asbahan Shahizan serta Penyelaras PDU, Syahrina Abdullah, manakala wakil pengurusan Bank Rakyat dari Cawangan Kuala Nerang, Megat Saiful Atras Megat Hamari juga bersama-sama memeriahkan majlis berkenaan. – Nadzif Al-Amin Zainal Abidin (Pelajar Praktikum, SLCP)

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button