SQS galak budaya kongsi ilmu melalui Kempen Derma Buku Teks
Gambar Zamalik Hassan
SINTOK, 21 Mei 2025: Pusat Pengajian Sains Kuantitatif (SQS), Universiti Utara Malaysia telah menganjurkan program tanggungjawab sosial melalui Kempen Derma Buku Teks yang berlangsung dari 14 hingga 22 April lalu di Pejabat Utama SQS.
Dekan Pusat Pengajian Sains Kuantitatif, Prof. Dr. Haslinda Ibrahim berkata, kempen ini merupakan inisiatif Jawatankuasa EKSA SQS, bertujuan menggalakkan amalan kitar semula buku teks lama serta membantu pelajar yang memerlukan.
Menurutnya, program ini juga menyokong pelaksanaan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG 13: Climate Action) melalui pendekatan lestari dan mesra alam.
Katanya, semua buku teks yang berjaya dikumpulkan disumbangkan kepada pelajar-pelajar dari Tashkent International University of Financial Management and Technology (TIFT), sebagai usaha memperluas manfaat ilmu dan menyokong pembelajaran dalam kalangan pelajar luar negara yang memerlukan.
“Program ini membuktikan bahawa semangat kebersamaan dan rasa tanggungjawab sosial masih kukuh dalam kalangan warga universiti.
“Terima kasih kepada semua pensyarah SQS yang telah memberi sumbangan buku dan komited menjayakan program ini,” katanya.
Pihak SQS akan terus menyokong program-program sebegini yang memupuk budaya prihatin, lestari, dan global dalam kalangan komuniti kampus.
Sepanjang kempen, puluhan naskhah buku telah berjaya dikumpulkan dan proses penghantaran sumbangan kepada TIFT University akan diselaraskan dalam masa terdekat. – Nabilah Suhaimi