STML hargai sumbangan staf dalam perkukuh kecemerlangan
Gambar Mohd Hafiz Alaihudin
SINTOK, 20 Mei 2025: Pusat Pengajian Pengurusan Teknologi dan Logistik (STML), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menganjurkan Majlis Apresiasi STML 2025 dengan penuh meriah dan bermakna di Dewan Sri Angsana, EDC-UUM, baru-baru ini.
Dekan STML, Prof. Madya Dr. Mohamed Najib Salleh dalam ucapannya merakamkan ucapan tahniah kepada semua staf yang telah menunjukkan dedikasi tinggi dan komitmen berterusan dalam memperkukuh kecemerlangan STML.
Menurutnya, majlis ini diadakan bagi menghargai sumbangan cemerlang staf akademik dan pentadbiran STML sepanjang tahun 2024 dalam menjayakan Pelan Strategik Pusat Pengajian dan Universiti.
Beliau turut mengucapkan penghargaan kepada urus setia yang bertungkus-lumus menjayakan penganjuran majlis berprestij ini.
“Majlis ini merupakan inisiatif julung kali yang dianjurkan bagi mengiktiraf ‘wira di sebalik tabir’ – individu yang komited menyumbang kepada kejayaan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) individu dan STML secara keseluruhan,” katanya.
Sebanyak 19 kategori anugerah telah disampaikan kepada 79 penerima, merangkumi anugerah-anugerah seperti Outstanding Performance Award, Excellence in Administration Award, Academic Excellence Award, Innovation Excellence Award, Research Excellence Award, Consultancy Excellence Award, Publication Excellence Award, Sustainable Community Award dan Innovative Achievement Award.
Majlis turut diserikan dengan Aktiviti Kotak Beracun serta cabutan bertuah yang disumbangkan oleh penjawat STML. Suasana majlis bertambah meriah dengan kehadiran staf yang mengenakan busana bertemakan tradisional, memperlihatkan semangat kebersamaan dan kekitaan dalam komuniti STML.
Dr. Mohamed Najib berharap agar kejayaan dan semangat kecemerlangan ini dapat diteruskan dan diperkukuh pada tahun 2025 dan seterusnya. – Salina Ali