Campus

Suasana masuk U, lensa rakam detik bersejarah

SINTOK – Pertama kali menjejakkan kaki di menara gading pastinya memberi keterujaan yang sukar digambarkan dengan kata-kata. Perasaan bercampur baur ada yang teruja, gembira, sebak, terharu, ketawa dan air mata bersilih ganti.

Merakam detik indah dari lensa kamera jurufoto, Hairul Nizam Zahari, Muhammad Shamsul Shafie dan Mohd Fuad Hamid serta juruvideo, Ku Ahmad Hafiz Ku Nayan, gambar sudah mampu bercerita.

Kelmarin, Universiti Utara Malaysia (UUM) menerima kemasukan 4,195 pelajar baharu terdiri pelajar tempatan dan antarabangsa yang akan mengikuti 48 program pengajian Sarjana Muda bagi sesi 2024/2025.

Seawal pagi pihak pengurusan tertinggi dan staf UUM telah berada di semua pintu masuk UUM bagi menyambut ketibaan pelajar baharu yang datang bersama keluarga malah kehadiran maskot yang turut serta dalam sambutan ini menambah seri dan memeriahkan suasana.

Semua lalu lintas dikawal rapi oleh pihak Jabatan Keselamatan bagi memastikan kelancaran trafik di samping menyantuni ibu bapa dan waris yang bertanyakan arah serta lokasi.

Pendaftaran bermula seawal 8.30 pagi menyaksikan ramai pelajar baharu yang datang ditemani keluarga tercinta yang sentiasa memberi dorongan, semangat dan inspirasi. Berada bersama keluarga di saat-saat akhir pastinya mengundang gerimis. Sekalipun  ekspresi berbeza namun semuanya bersyukur dan teruja berpeluang menjalani kehidupan kampus yang penuh warna-warni.

Pelbagai ragam dan gelagat dapat diperhatikan sepanjang Minggu Suai Kenal antaranya ada yang sibuk membawa beg, bantal, baldi, barang-barang, ada yang bersembang, anak kecil berlari-lari riang, menunggu di parkir dan menjamu selera sementara menunggu anak bersiap.

Luar biasa kali ini, ada yang datang seorang diri dengan kereta api, ibu telah meninggal dunia, ayah menghidap kanser paru-paru dan sedang menerima rawatan di hospital. Foong Wei Yeng, Pelajar Sarjana Muda Pengurusan Risiko dan Insurans bangkit demi mengubah masa depan.

Pengorbanan seorang abang yang menyentuh hati, Ee Tai Qing sanggup menaiki motosikal dari Melaka semata-mata untuk  melihat adiknya,  Ee Tai Zhi  masuk universiti. Semuanya demi mengubah masa depan.

Antara lain, orang kelainan upaya (OKU) yang menyifatkan keadaannya tidak menjadi penghalang menuju kejayaan sebaliknya menjadi pemangkin semangat untuk melanjutkan pengajian dan menggapai impian. Selain itu, pendaftaran oleh pasangan kembar, Wong Xin Ning dan Wong Xin Yi, pelajar antarabangsa serta orang asli turut mencuri perhatian.

Semua detik-detik yang penuh makna ini terakam kemas oleh staf UUM yang tangkas dan kreatif membidik kamera sehingga terlakar momen indah yang bakal menjadi lipatan sejarah suatu hari nanti.

 

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button