Campus

Timbalan Naib Canselor (A&A) akhiri siri lawatan kerja di SOE

Gambar SOE

SINTOK, 24 Jun 2025: Pusat Pengajian Pendidikan (SOE), Universiti Utara Malaysia telah menerima lawatan kerja daripada Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Dr. Mohd. Azizuddin Mohd Sani sebagai sebahagian daripada siri lawatan kerja beliau ke semua pusat pengajian di UUM.

Dalam sesi tersebut, Dekan SOE, Prof. Madya Dr. Mohamad Khairi Othman telah membentangkan laporan semasa yang merangkumi pencapaian, isu dan cabaran yang dihadapi oleh pusat pengajian bagi tahun 2025.

Antara perkara utama yang diketengahkan termasuk keperluan tambahan peruntukan bagi penyeliaan praktikum pelajar, kekurangan bilik kuliah, khususnya bagi program pascasiswazah, penambahbaikan pelaksanaan peperiksaan akhir program pasca siswazah, pencapaian SOE yang buat pertama kali tersenarai dalam subjek Pendidikan oleh QS World University Rankings, Anugerah Pembudayaan Penyelidikan dan Penerbitan Kategori Sains Sosial  serta pengiktirafan kepada empat orang pensyarah SOE yang menerima Anugerah Pengajaran Terbaik (ITA) dalam Majlis HIMPU 2025.

Dr. Mohamad Khairi berkata, ketika ini SOE berdepan kekangan kemudahan fizikal apabila bilik mesyuarat dan bilik perbincangan terpaksa dijadikan ruang kuliah berikutan kekurangan bilik kuliah.

Menurutnya, keadaan ini menjadi lebih mencabar apabila empat buah bilik kuliah sedang melalui proses naik taraf.

“Tambahan pula, pengambilan pelajar baharu bagi program Diploma Pendidikan Lepasan Ijazah(PGDE) pada tahun ini dijangka meningkat berbanding tahun-tahun sebelumnya disebabkan permintaan yang tinggi terhadap program tersebut bagi menampung keperluan guru Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM),” katanya.

Sesi dialog dua hala turut diadakan bagi memberi peluang kepada warga SOE mengemukakan pandangan, cadangan serta persoalan secara terus kepada pihak pengurusan tertinggi universiti. Sesi ini mencerminkan komitmen bersama ke arah kecemerlangan akademik dan tadbir urus yang lebih inklusif.

Sementara itu, Dr. Mohd. Azizuddin dalam ucapannya menyatakan bahawa sesi pertemuan ini bertujuan memperkukuh komunikasi dua hala antara pengurusan universiti dan warga pusat pengajian dalam memahami matlamat serta halatuju pengurusan akademik semasa.

Beliau turut  menekankan berkenaan pengiktirafan program di peringkat antarabangsa dan SOE turut diiktiraf dalam penarafan AACSB iaitu Program Sarjana Muda Pendidikan (Perakaunan) dan Sarjana Muda Pendidikan (Pengurusan Perniagaan).

Turut hadir dalam sesi berkenaan ialah Pengarah Pusat Hal Ehwal Kerjasama Antarabangsa (CIAC), Prof. Madya Dr. Arpah Abu Bakar, dan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Akademik, Azian Nafiah yang hadir bagi menyokong agenda pembangunan strategik pusat pengajian.

Majlis diteruskan dengan Pelancaran Takwim Aktiviti Pusat Pengajian Pendidikan (SOE) 2025 yang bukan sahaja menjadi pemangkin semangat kepada seluruh warga SOE, malah turut memperkukuh kesediaan pusat pengajian dalam melaksanakan aktiviti akademik dan pembangunan profesional secara lebih terancang dan menyeluruh bagi tempoh Jun hingga Disember 2025 bagi mencapai KPI SOE dan universiti. – Hasliza Shafie

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button