UUM COB terima kunjungan ilmiah UNIMAS bagi perkukuhkan jaringan akademik
Gambar M. Syazwi Sholihin dan M. Arief Fitri Shafie
SINTOK, 1 September 2025: Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) telah mengadakan lawatan ilmiah ke Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan (SEFB) dan Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan (SBM) bagi memperkukuh hubungan kerjasama akademik serta meneroka amalan terbaik proses pentadbiran.
Lawatan ini melibatkan delegasi seramai 30 pensyarah dan kakitangan pentadbiran daripada Fakulti Ekonomi dan Perniagaan UNIMAS yang diketui oleh Prof. Dr. Dayang Affizzah Awang Marikan (Delegasi Pascasiswazah) dan Dr. Mohd Khairul Hisyam Hassan (Delegasi Sarjana Muda) dan disambut oleh barisan pengurusan dan pensyarah dari kedua-dua pusat pengajian.
Prof. Madya Dr. Bakti Hasan Basri, Menjalankan Tugas Penolong Naib Canselor sangat berbesar hati menerima kunjungan dari UNIMAS untuk memantapkan rangkaian profesional dalam bidang akademik melalui perkongsian ilmu, pertukaran idea, serta penerokaan peluang kerjasama antara kedua-dua IPTA.
Menurutnya, kunjungan ini turut membincangkan berkaitan peluang kolaborasi dalam bidang penyelidikan, pengajaran, dan pembangunan program akademik turut diadakan.
Antara pengisian program lawatan ke SEFB dan SBM turut berkongsi mengenai strategi dan cabaran dalam mencapai akreditasi AACSB, pengurusan kualiti akademik termasuk pemantauan hasil pembelajaran, serta tatacara pengurusan kertas soalan di peringkat pusat pengajian, selaras dengan keperluan audit dan penjaminan kualiti.
Sementara itu, Dr. Dayang Affizzah melahirkan rasa gembira terhadap layanan dan maklum balas yang diberikan oleh kedua-dua pusat pengajian sepanjang tempoh lawatan tersebut.
“Idea-idea yang dikongsi bersama diyakini dapat memperkukuh pengurusan hal ehwal akademik pelajar serta meningkatkan kelancaran proses pentadbiran,” katanya. – Nur Hazlina Ghazali