Campus

UUM dan Boeing Composite Malaysia perkukuh kolaborasi pintar

Gambar Muhammad Shamsul Shafie

SINTOK, 13 April 2026: Selepas beberapa siri perbincangan strategik antara Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Boeing Composite Malaysia (BCM), satu pertemuan rasmi melibatkan pengurusan kedua-dua organisasi telah diadakan pada 9 April lalu.

BCM diketuai oleh Pengarah Urusan, Faisal Sraieldin bersama Rashidah Othman, Dr. Mohd Yusri Mohd Yusoff, Noor Hisyam Ahmad, Afrul Nizam Osman dan Zainal Shukri Dato’ Dr. Abd Aziz disambut oleh Naib Canselor, Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed di Bilik Mesyuarat Naib Canselor.

Dr. Ahmad Martadha berkata, pertemuan ini menjadi langkah penting ke arah merealisasikan kolaborasi pintar antara institusi akademik dan industri penerbangan.

Menurutnya, kolaborasi ini mencerminkan komitmen UUM dalam memperkukuhkan hubungan strategik dengan industri global seperti Boeing.

“Kami yakin sinergi ini akan membuka peluang besar kepada pembangunan bakat, penyelidikan berimpak tinggi serta inovasi yang relevan dengan keperluan industri,” katanya.

Hasil pertemuan tersebut telah mengenal pasti beberapa potensi kolaborasi strategik yang boleh diterokai bersama, termasuk pelaksanaan program latihan (trainings), pembangunan projek (project development), penyelidikan bersama (joint research), serta penganjuran program dan acara bersama (joint events).

Sementara itu, Faisal Sraieldin berkata, kerjasama dengan UUM memberi peluang kepada mereka untuk mendekati bakat tempatan serta menyokong pembangunan ekosistem inovasi.

“Kami melihat potensi besar dalam kolaborasi ini, khususnya dalam bidang teknologi, penyelidikan dan pembangunan modal insan.

“Kolaborasi ini dijangka mampu memperkukuh hubungan antara akademia dan industri, di samping menyumbang kepada pembangunan bakat, inovasi teknologi serta peningkatan daya saing dalam sektor penerbangan dan teknologi negara,” katanya.

Turut hadir, Dekan Pusat Pengajian Pengkomputeran, Prof. Ts. Dr. Osman Ghazali bersama Dr. Fazli Azzali dan Prof. Madya Noraziah Che Pa, manakala Pusat Pengajian Pengurusan Teknologi dan Logistik diwakili Dekan, Prof. Madya Ts. Dr. Mohd Kamarul Irwan Abdul Rahim serta Dr. Syairah Aimi Shahron.

Kehadiran turut disertai oleh Pengarah Pusat Kerjasama Universiti-Industri, Prof. Dr. Chandrakantan Subramaniam.- Prof. Madya Noraziah Che Pa

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button