Campus

UUM jadi tuan rumah Mesyuarat MAGNETIC Kali Ke-66 Bil.2/2025

Gambar Muhammad Shamsul Shafie

SINTOK, 31 Julai 2025: Universiti Utara Malaysia (UUM) diberi kepercayaan untuk menjadi tuan rumah bagi Mesyuarat Majlis Ketua-Ketua Pusat Pengajaran dan Pembelajaran IPTA (MAGNETIC) Kali Ke-66 Bil.2/2025, yang berlangsung di Bilik Mesyuarat Senat, UUM pada hari ini.

Mesyuarat ini menghimpunkan pengarah dan ketua pusat pengajaran dan pembelajaran dari seluruh Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) di Malaysia bagi membincangkan pelan strategik, inisiatif baharu dan isu-isu kritikal berkaitan kecemerlangan pengajaran dan pembelajaran (PdP) dalam pendidikan tinggi negara.

Naib Canselor, Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan dalam ucapannya menekankan pentingnya kerjasama antara pusat pengajaran IPTA bagi memperkasa pendidikan tinggi negara, seiring perkembangan teknologi dan keperluan pelajar masa kini.

“Kita tidak lagi boleh bergerak secara solo, sebaliknya perlu memanfaatkan kekuatan masing-masing untuk bersama-sama melonjakkan kualiti PdP di negara kita,” katanya dalam teks ucapan yang dibacakan oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed.

Beliau juga menegaskan peranan pusat pengajaran IPT sebagai agen penggerak dalam menjayakan transformasi pendidikan.

Dr. Mohd Foad turut menzahirkan harapan agar mesyuarat ini menjadi ruang untuk berkongsi amalan terbaik dan merancang tindakan bersama yang mampu memberi impak nyata terhadap kualiti PdP IPTA.

Turut hadir, Pengarah Pusat Pembangunan dan Kecemerlangan Kepimpinan Akademik (CADe-Lead), Universiti Putra Malaysia, Prof. Madya Dr. Wan Zuhainis Saad, yang juga merupakan Pengerusi MAGNETIC.

“Saya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada mantan ahli MAGNETIC yang telah tamat perkhidmatan, dan selamat datang kepada ahli MAGNETIC yang baharu,” katanya.

Delegasi MAGNETIC dijadualkan mengadakan lawatan kerja ke Prince of Songkla University (PSU), Pattani bagi meneroka peluang kerjasama serantau dan perkongsian amalan terbaik dalam konteks pendidikan tinggi serantau.

Penganjuran mesyuarat ini mencerminkan komitmen UUM sebagai universiti pengurusan terulung negara dalam memperkukuh jaringan kolaboratif dan peranan kepimpinan dalam pendidikan tinggi Malaysia. – Nur Izzatul Natasya Raymee Syam (Pelajar Pelatih dari UniMAP)

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button