UUM, JPA bincang tawaran kursus untuk penjawat Aawam
Gambar oleh Pusat Pengajian Kerajaan (SOG)
PUTRAJAYA, 25 Februari 2026: Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Jabatan Perkhidmatan Awam bercadang menawarkan program jangka pendek di dalam dan luar negara serta kursus eksekutif kepada penjawat awam di seluruh Malaysia.

UUM melalui Pusat Pengajian Kerajaan (SOG) dan Bahagian Pembangunan Modal Insan (PBI) JPA sedang melihat juga kemungkinan penawaran program pascasiswazah kepada penjawat awam yang melibatkan kira-kira 270 skim perkhidmatan awam di Malaysia.

Naib Canselor UUM, Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed, berkata perbincangan ini susulan daripada idea yang dicetuskan oleh Ketua Pengarah JPA, Tan Sri Wan Ahmad Dajlan Abdul Aziz.
“Inisiatif ini sesungguhnya mampu memperkukuh pembangunan kompetensi dan profesionalisme pegawai sektor awam secara lebih strategik dan berimpak tinggi.

“Saya berharap kerjasama strategik ini dapat diperluas secara berterusan melalui pelaksanaan program-program akademik yang bersifat fleksibel, relevan dan memenuhi keperluan semasa perkhidmatan awam,” katanya.
Sebelum itu, Dr. Ahmad Martadha membuat kunjungan hormat dan mengadakan perbincangan dengan Pengarah BPI JPA, Dato’ Jamalulail Abu Bakar, di pejabatnya di Putrajaya, semalam.
Dr. Ahmad Martadha turut menzahirkan komitmen universiti untuk terus menyokong agenda pembangunan modal insan negara menerusi kepakaran akademik dan penyelidikan yang dimiliki UUM.
Turut hadir ialah Dekan SoG, Prof. Dr. Halimah Abdul Manaf; Timbalan Dekan SoG, Prof. Madya Dr. Abd. Rahim Romle; Pengarah EDUMi Sdn. Bhd., Prof. Madya Dr. Abdul Rahman Jaaffar; serta Timbalan Pengarah EDUMi Sdn. Bhd., Dr. Mohd Aamir Adeeb Abdul Rahim dan pegawai-pegawai kanan PBI.



