UUM keluarkan tali leher dan tudung bawal eksklusif
Gambar Ammar al-Mukhreez Shukri
SINTOK, 17 Ogos 2025: Dalam usaha memperkukuhkan identiti korporat Universiti Utara Malaysia (UUM), Jabatan Strategik dan Pembangunan Perniagaan (BSD) telah memperkenalkan koleksi terbaharu daripada UUM Merchandise Collection (UMC), yang menampilkan tudung bawal dan tali leher eksklusif UUM, baru-baru ini.
Majlis pelancaran yang dianjurkan oleh BSD itu telah disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed, bersama Pengarah BSD, Dr. Afiruddin Tapa.
Dr.Ahmad Martadha berkata, pelancaran koleksi ini mencerminkan komitmen berterusan BSD dalam menepati kehendak pengguna, di samping menyediakan koleksi yang boleh digunakan dalam kehidupan seharian.
“Usaha ini juga secara tidak langsung memupuk semangat kekitaan dalam kalangan warga universiti agar berbangga membawa identiti UUM ke mana sahaja mereka berada,” katanya.
Produk ini kini boleh didapati di UUM Merchandise Collection (UMC) Boutique yang terletak di Varsity Mall pada harga mampu milik, agar warga UUM dan orang awam turut berpeluang memiliki koleksi eksklusif ini.
Majlis tersebut turut dihadiri oleh barisan pengurusan kanan universiti, pegawai, serta warga UUM. – Nurulnathasya Shahrul Nizam