Campus

UUM Kompetitif di MTHQ IPT ASEAN 2025

Gambar oleh Sharif Abdus Salam bin Sharif Saad

TERENGGANU, 23-26 Oktober 2025: Universiti Utara Malaysia terus memperkukuh kedudukan sebagai institusi yang unggul dalam bidang keilmuan dan pembangunan pelajar apabila menyertai Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran (MTHQ) peringkat Institusi Pengajian Tinggi ASEAN 2025 yang berlangsung di Dewan Resital, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) Terengganu Darul Iman dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Tinggi dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Penyertaan UUM kali ini membariskan seramai enam pelajar dalam kategori Tilawah Al-Quran dan Hafazan Al-Quran, bersama seorang jurulatih dan pegawai pengiring daripada Pusat Islam.

Program bertaraf serantau itu menghimpunkan peserta dari pelbagai universiti awam dan swasta di seluruh ASEAN bagi memperkukuh ukhuwah, memperkasakan nilai Islam serta mengangkat martabat seni bacaan dan hafazan Al-Quran di peringkat antarabangsa.

Menurut Pengarah Pusat Islam, Hj. Mohd Yusnaidi Md Sabri, penyertaan ini bukan sekadar medan pertandingan, tetapi juga ruang untuk memperkukuh jati diri mahasiswa muslim serta memperluas jaringan ilmu dan dakwah sesama warga IPT ASEAN.

“Kita mahu pelajar UUM bukan sahaja cemerlang dari segi akademik, tetapi juga menyerlah dalam aspek spiritual dan kepimpinan berasaskan Al-Quran,” ujarnya.

Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran IPT ASEAN 2025 di UniSZA ini berlangsung selama empat hari dan menyaksikan penyertaan dari pelbagai negara serantau termasuk Malaysia, Indonesia, Brunei Darussalam dan Thailand.

Penyertaan UUM dalam kategori Tilawah diwakili oleh Muhammad Hakimi bin Shafie, Nurul Ashyiera binti Hisham dan Hakimul Nizar.

Manakala dalam kategori Hafazan pula adalah Muhammad Zahid bin Ahmad Termizi, Rabiatul Adawiyah binti Jasmadeze dan Rayyan Fitrah Mulya.

Muhammad Zahid yang juga merupakan Eksekutif Pembangunan Sahsiah dan Perpaduan Mahasiswa Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) menzahirkan penghargaan kepada pengurusan universiti atas sokongan berterusan terhadap pembangunan rohani pelajar serta kepada seluruh warga kampus yang mendoakan kejayaan kontinjen UUM. – Muhammad Kamil bin Yazid

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button