Campus

UUM universiti pertama miliki pusat kitar semula secara pandu lalu

SINTOK, 21 Oktober – Universiti Utara Malaysia (UUM) menjadi universiti pertama seumpamanya yang mempunyai pusat kitar semula secara pandu lalu atau dikenali sebagai Drive Thru Recycle Centre (DTRC-UUM), di dalam kampus di Malaysia.

Semua warga kampus boleh menikmati ganjaran melalui aplikasi IdamanXchange seperti Boost dan Touch & GO dengan aktiviti kitar semula ini.

Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Tan Sri Datuk Wira Dr. Mohd Shukor Mahfar berkata, salah satu contoh kecemerlangan, yang boleh dicapai melalui tindakan yang dilaksanakan secara bersepadu dan membawa banyak manfaat kepada alam ialah ‘Drive-Thru Recycle Center (DTRC-UUM)’.

“Dalam masa 17 bulan inisiatif ini dijalankan, DTRC UUM telah berjaya menghalang lebih 61 tan bahan kitar semula daripada sampai ke tapak pelupusan, menyelamatkan 366 batang pokok, 32.3 juta gelen air, 35,937 jam elektrik, dan 3,417 gelen minyak, serta mengembalikan sebanyak RM37,390 kepada komuniti setempat.”

“Ia adalah idea yang mudah tetapi telah memberi kesan yang mendalam. Ini menunjukkan kepada kita bahawa tiada tindakan yang terlalu kecil apabila melibatkan kelestarian.

“Inilah yang kita sasarkan melalui persidangan ini mencipta gelombang perubahan yang meluas dan berpanjangan. Kami berharap universiti di seluruh negara akan membawa memastikan bahawa usaha ke arah kelestarian menjadi amalan dan bersepadu dalam misi mereka,” ucapnya.

Ketika cabaran global seperti perubahan iklim, kemerosotan alam sekitar, dan ketidaksamaan sosial semakin meruncing, institusi pengajian tinggi harus mengambil langkah proaktif, bukan sahaja sebagai pendidik tetapi juga sebagai agen perubahan.

Beliau menyeru semua peserta untuk melihat kepentingan dan peranan setiap universiti dalam memperkasakan pegawai kelestarian bagi memupuk dan membudayakan amalan kelestarian di universiti.

“Persefahaman antara semua universiti merupakan komponen utama dalam dalam usaha pelaksanaan perubahan ke arah masa depan yang mementingkan kerjasama dan bukannya persaingan.

“Telah tiba masanya untuk kita bergerak dan berkerjasama dalam mencipta landskap baru di mana pelajar, ahli akademik, penyelidik, dan pihak industri berkolaborasi antara satu sama lain bagi mencapai matlamat kelestarian.

“Saya berharap persidangan seumpama ini bukan sahaja dapat mewujudkan wadah perkongsian pengetahuan, malah ia akan dapat menyumbang kepada perubahan dasar negara ke arah usaha kemampanan jangka panjang.”

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Sidang Kemuncak Kelestarian Institusi Pengajian Tinggi 2024 sambil disaksikan oleh Naib Canselor UUM, Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan dan Ketua Pegawai Eksekutif, E-Idaman Sdn. Bhd, Zaki Abdul Aziz M.H. Daud.

Beliau turut merasmikan buku UUM Living Campus Blueprint yang merupakan rangka kerja strategik yang direka untuk memastikan kesediaan UUM dalam menerima landskap pendidikan tinggi yang mampan.

“Tahniah dan syabas diucapkan kepada UUM kerana telah berjaya menjadi menjadi tuan rumah yang pertama kepada sidang kemuncak ini. Ucapan terima kasih juga kepada pihak Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) yang menjadi rakan kerjasama untuk persidangan ini,” katanya.

Majlis ini berjaya mengumpulkan 12 universiti awam di seluruh Malaysia dalam usaha mencapai matlamat bersama bagi membangun masa depan yang lestari.

Sebanyak 17 amalan terbaik akan dibentangkan untuk sama-sama dikongsi, dipelajari, disesuaikan, dan dikembangkan untuk memajukan lagi usaha kelestarian di kampus masing-masing.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button