Campus

UUM tegaskan komitmen Persekitaran Kampus Selamat dan Sihat melalui Bengkel IAQ

Gambar Bahagian Pengurusan Risiko

SINTOK, 1 September 2025: Universiti Utara Malaysia (UUM) melalui Bahagian Pengurusan Risiko (RMD) telah menganjurkan Bengkel Permonitoran Kualiti Udara Dalaman (IAQ) bertempat di Auditorium 1, Perpustakaan Sultanah Bahiyah.

Program ini meliputi sesi ceramah kesedaran, bengkel interaktif, serta lawatan tapak yang turut disertakan demonstrasi penggunaan peralatan permonitoran.

Bengkel ini direalisasikan hasil kerjasama strategik antara universiti awam dan swasta, dengan penglibatan pakar-pakar iaitu Pensyarah Kanan Fakulti Pengajian dan Pengurusan Pertahanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Dr. HSiti Nurhafizah Saleeza Ramlee; Pensyarah Kanan Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Megat Azman Megat Mokhtar; serta Pensyarah Fakulti Sains dan Teknologi Gunaan, Open University Malaysia (OUM), Siti Maisarah Amdan.

Kesudian mereka untuk hadir ke kampus UUM di Sintok telah memperkayakan perbincangan sekaligus membuka ruang perkongsian kepakaran merentas disiplin dalam bidang kesihatan, keselamatan dan persekitaran, seterusnya memperkukuh amalan terbaik di institusi pengajian tinggi.

Timbalan Pengarah RMD, Ts. Dr. Syazwan Syah Zulkifly berkata, penganjuran bengkel ini adalah sebahagian daripada komitmen UUM dalam mematuhi Seksyen 15(2)(e), Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (Akta 514) yang memperuntukkan kewajipan majikan menyediakan persekitaran kerja yang selamat dan bebas risiko kepada kesihatan.

“Secara khususnya, bengkel ini merupakan langkah strategik dalam menentukan kaedah kawalan isu kulat di bangunan Perpustakaan Sultanah Bahiyah, sekali gus memastikan suasana pembelajaran dan persekitaran kerja yang kondusif untuk warga kampus,” katanya.

Turut hadir memantau sesi permonitoran IAQ ialah Ketua Pustakawan UUM, Prof. Dr. Che Azlan Taib.

Pada penutup program, beliau berbesar hati menyampaikan cenderahati kepada penceramah dan fasilitator jemputan sebagai tanda penghargaan atas sumbangan kepakaran mereka, selain meraikan kehadiran mereka dalam majlis santapan tengah hari.​ – Nurulwajhi Yahaya

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button