UUM terima dana KPT RM249,760 bagi Projek Keusahawanan Lestari ESG
Berita dan gambar Akmal Ahlami Md. Rozai
SINTOK, 4 Ogos 2025: Universiti Utara Malaysia (UUM) melalui Institut Pembangunan Keusahawanan dan Koperasi (CEDI) terus memperkukuh peranannya dalam bidang keusahawanan dan kelestarian apabila berjaya memperoleh Dana Program Keusahawanan daripada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) berjumlah RM249,760.
Ketua Projek, Dr. Nurakmal Ahmad Mustaffa berkata, dana tersebut akan digunakan bagi pelaksanaan projek Hijau Arambam Cuanxin: Program Keusahawanan Lestari – Memperkasa Kitar Tinggi Berasaskan ESG, yang bakal memberi fokus kepada pembangunan keusahawanan yang mampan, bertanggungjawab, dan berasaskan nilai-nilai Environmental, Social and Governance (ESG).
Nama program ini menggambarkan gabungan semangat kelestarian (Hijau), permulaan atau inisiatif (Arambam – Tamil), dan inovasi (Cuanxin – Mandarin). Program ini akan dilaksanakan selama satu tahun, bermula pada Oktober 2025 dan melibatkan tiga fasa utama iaitu Fasa 1: Saringan pelajar dan pengurusan modul latihan keusahawanan; Fasa 2: Pelaksanaan lima modul latihan utama termasuk komunikasi, reka bentuk produk, penjenamaan, pemasaran digital dan pengurusan kewangan serta Fasa 3: Pembentangan hasil projek, penilaian akhir dan perbincangan pelan tindakan kelestarian pasca program.
Antara rakan strategik yang terlibat ialah Jabatan Alam Sekitar Negeri Kedah, Majlis Perbandaran Kubang Pasu, NGO Kami Peduli Sampah, serta syarikat pengurusan sisa seperti e-Idaman.
Dr. Nurakmal yang juga pensyarah kanan di Othman Yeop Abdullah Graduate School of Business (OYAGSB) berkata, program ini menyasarkan impak seperti penubuhan syarikat pelajar, penggunaan teknologi dalam keusahawanan, kolaborasi industri-IPT, serta sumbangan terhadap pembangunan komuniti melalui pemerkasaan ekonomi kitar semula.
Projek ini akan diterajui beliau bersama pasukan penyelidik dan rakan kerjasama strategik bagi memperkasakan komuniti usahawan dan menyokong matlamat pembangunan mampan negara.
Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dr. Ram Al Jafri Saad berkata, UUM, ke arah mencapai agenda keusahawanan lestari dan kelestarian alam sekitar.
“UUM sentiasa mendokong inisiatif yang berteraskan inovasi dan penyelidikan demi manfaat komuniti dan negara.
“Projek ini bukan sahaja selari dengan hala tuju Malaysia MADANI, malah akan menjadi contoh amalan terbaik dalam bidang keusahawanan yang berdaya tahan dan bertanggungjawab,” katanya.
Dengan kejayaan ini, UUM yakin dapat terus melahirkan lebih ramai usahawan yang bukan sahaja berdaya saing tetapi juga beretika dan berwawasan dalam memelihara kelestarian alam sekitar serta memberi manfaat kepada masyarakat secara keseluruhan.