Campus

UUMCOB kenal pasti bakat kepimpinan penjawat menerusi program in-house talent assessment

Gambar oleh UUM COB

SINTOK, 19 Januari 2026: UUMCOB melalui inisiatif UUMCOB Talent Assessment Programme telah melaksanakan satu program penilaian kompetensi yang bertujuan mengenal pasti serta mengetengahkan kakitangan akademik berpotensi untuk menerajui jawatan pengurusan tertinggi di pusat-pusat pengajian UUMCOB.

Program ini dikendalikan oleh Pasukan Task Force yang diterajui oleh Prof. Dr. Faizuniah Pangil, Prof. Madya Dr. Siti Zubaidah Othman dan Prof. Madya Dr. Mohd Faizal Mohd Isa dari Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan.

Pasukan ini memanfaatkan kepakaran masing-masing dalam mengenal pasti bakat kepimpinan serta menilai keupayaan strategik dalam kalangan kakitangan akademik UUMCOB.

Penilaian dilaksanakan melalui tugasan yang dibuka secara terbuka kepada pensyarah UUMCOB. Sebanyak dua tugasan utama telah dirangka bagi menilai aspek kepimpinan dan kemahiran membuat keputusan, yang merupakan kriteria penting dalam pemilihan pemimpin bagi jawatan pengurusan di peringkat kolej, bermula daripada Pengerusi Program hingga ke jawatan Timbalan Dekan.

Bagi memastikan proses penilaian dilaksanakan secara sistematik dan objektif, Task Force turut menyediakan rubrik penilaian sebagai panduan kepada penilai daripada Jawatankuasa Kolej. Rubrik ini merangkumi aspek kepimpinan, kerjasama berpasukan, penyelesaian masalah, kemahiran membuat keputusan serta pengendalian konflik.

Pelaksanaan program ini merupakan cetusan idea Prof. Madya Dr. Bakti Hasan Basri, Menjalankan Tugas Penolong Naib Canselor UUMCOB, dengan matlamat mewujudkan kumpulan bakat kepimpinan (talent pool) dalam kalangan warga UUMCOB.

Inisiatif ini bertujuan membantu pihak dekan pusat pengajian dalam membuat pelantikan jawatan pengurusan tertinggi secara lebih strategik dan berinformasi.

Selain menyediakan peluang yang lebih adil dan terbuka kepada semua pensyarah berpotensi, penilaian ini juga mengurangkan kebergantungan kepada pelantikan berdasarkan hubungan atau kelompok tertentu.

Pendekatan ini sekali gus memperkukuh prinsip ketelusan, objektiviti dan merit dalam proses pemilihan pemimpin akademik.

Melalui mekanisme penilaian yang sistematik ini, pusat-pusat pengajian turut berupaya membuat penggantian segera bagi jawatan-jawatan utama sekiranya berlaku kekosongan atau keperluan mendesak, sekali gus memastikan kelangsungan tadbir urus akademik yang berkesan.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button