UUMKL perkasa pengurusan risiko dan keselamatan melalui dua bengkel penting
Berita dan gambar Hisaruddin Ahmat
KUALA LUMPUR, 31 Julai 2025: Universiti Utara Malaysia Cawangan Kuala Lumpur (UUMKL) terus memperkukuh budaya tadbir urus dan kesejahteraan tempat kerja melalui penganjuran dua bengkel penting oleh Bahagian Pengurusan Risiko Universiti Utara Malaysia.
Bengkel-bengkel ini melibatkan penyertaan aktif daripada Jawatankuasa Risiko serta Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan UUMKL dan OYAGSB Kuala Lumpur.
Bnegkep pertama dimulakan dengan Bengkel Pengurusan Risiko dan RMIS UUMKL yang dikendalikan oleh Pengurus Risiko dan Kesinambungan Perkhidmatan, Dr. Zairol Azhar Auzzir.
Beliau memberi fokus kepada pemantapan kefahaman mengenai sistem pengurusan risiko universiti serta penggunaan RMIS (Risk Management Information System) secara efektif dalam pemantauan dan pelaporan risiko institusi.
Seterusnya, Bengkel HIRARC Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan yang melibatkan ahli Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan UUMKL dan OYAGSB Kuala Lumpur.
Bengkel ini dikendalikan oleh Timbalan Pengarah (Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan), Ts. Dr. Syazwan Syah Zulkifly, dengan penekanan terhadap aspek penting HIRARC (Hazard Identification, Risk Assessment and Risk Control) sebagai langkah strategik memastikan tempat kerja yang lebih selamat dan sihat.
Bengkel ini turut dihadiri oleh Pengarah Bahagian Pengurusan Risiko, Shahrul Nizam Ahmad, yang menunjukkan komitmen berterusan jabatan tersebut dalam menyokong pembangunan kapasiti dan peningkatan kesedaran berkaitan pengurusan risiko serta keselamatan dan kesihatan pekerjaan di kampus Kuala Lumpur.
Penganjuran bengkel ini mencerminkan usaha proaktif Bahagian Pengurusan Risiko UUM dalam memperkasa budaya pengurusan berasaskan risiko dan pematuhan terhadap aspek keselamatan kerja, seiring dengan hasrat universiti untuk mencapai kecemerlangan dalam pengurusan institusi secara menyeluruh.
Pihak UUMKL merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Bahagian Pengurusan Risiko atas kesudian menganjurkan kedua-dua bengkel ini serta atas komitmen berterusan dalam memperkasa kecekapan dan kesedaran dalam kalangan warga kampus.