Terokai dunia digital UX, kerja jadi mudah
Sintok : Zaman serba canggih dan moden menyaksikan perkembangan pesat teknologi komunikasi di hujung jari termasuk kesedaran terhadap pengalaman pengguna (UX) yang semakin berkembang maju.
Profesor UUM, Prof. Ts. Dr. Ariffin Abdul Mutalib membawa peserta menerokai dunia digital berasaskan UX untuk memudahkan urusan dalam kehidupan pengguna.
“Dulu jika sebut meja terbayang segi empat, namun hari ini meja wujud dalam pelbagai bentuk dan saiz. Begitu juga sinki yang turut disediakan untuk kanak-kanak yang memudahkan mereka menggunakannya, tanpa perlu didukung ibu ayah.
“Begitu juga ketika berada di lapangan terbang. Hebahan bukan sekadar masa, malah pintu-pintu turut dinyatakan bagi memudahkan pelancong. Maklumat dalam tren juga bukan hanya menyatakan hentian berikutnya, tetapi jumlah hentian sebelum tiba di destinasi, pintu yang akan dibuka, dan juga pertukaran tren. Sebenarnya situasi ini didorong oleh kesedaran UX,” ujarnya.
Jelasnya, UX diperkenalkan oleh Donald A. Norman dan merupakan bidang ilmu yang dapat diterapkan dalam mana-mana proses mereka bentuk termasuklah produk industri. Reka bentuk UX ialah ilmu yang cakna tentang pembentukan pengalaman pengguna dalam menggunakan sesuatu produk.
Beliau amat mementingkan keupayaan reka bentuk aplikasi interaktif bagi membantu pengguna dalam menyelesaikan tugas mereka.
“Ketika menyiapkan tugasan pengajian Sarjana di Heriot-Watt, kami diberi tugasan mereka bentuk alatan multimedia mudah alih yang memberi impak dengan mencongak teknologi masa depan. Menariknya kesemua idea pada tahun 2000 itu telah menjadi kenyataan pada hari ini.
“Teknologi komunikasi mengalami evolusi yang sangat pantas. Kita dapat saksikan kaedah komunikasi berubah ke bentuk digital. Bahan-bahan telah berubah ke bentuk digital, begitu juga perkhidmatan. Hari ini telefon pintarlah segalanya-galanya. Jika tertinggal telefon, huru-hara satu hari,” kongsinya.
Ujarnya, perkembangan semasa menyaksikan pelbagai tugas manusia dibantu aplikasi interaktif. Capaian kepada aplikasi interaktif bukan hanya oleh orang dewasa, malah kanak-kanak.
Dalam keghairahan membangunkan aplikasi interaktif, para jurureka bentuk harus memahami keperluan pengguna dan konteks penggunaan.
Kedua-dua tersebut ialah nadi bagi reka bentuk aplikasi interaktif. Langkah tersebut dapat memastikan penyelesaian yang direka bentuk benar-benar memenuhi keperluan dan kehendak pengguna sasar.
“Adakah kita semua sama? Perhatikan pada alat Komunikasi kita, kawasan tempat tinggal kita, zaman kanak-kanak kita, dan keupayaan fizikal dan kepakaran kita. Mereka mendorong kepada perbezaan setiap manusia. Seterusnya adakah keadaan seperti bencana, situasi di pelantar minyak, dan hospital sama sahaja atau ada perbezaan?”
“Contoh kajian yang dijalankan bagi aplikasi umrah, perlu difahami bahawa pengguna berbeza keupayaan fizikal, kebolehan membaca, bahasa ibunda, kejelasan penglihatan, latar geografi asal, dan tahap kesihatan.
“Dalam konteks penggunaan, keadaan ketika itu padat dengan manusia, bertolak-tolak, kurang oksigen, tidak dapat fokus membaca, lapar, dan tidak selesa,” ujarnya pada Syarahan Pengukuhan Profesor 2024 Siri 7: Pengalaman Pengguna Dalam Reka Bentuk Interaktif yang berlangsung di SMMTC, semalam.
Justeru katanya, jurureka bentuk perlu prihatin terhadap pengguna yang berbeza-beza dan apabila mereka memahami pengguna dan konteks pengguna maka terhasillah reka bentuk yang membuatkan pengguna berasa suka berinteraksi dengannya.
Terdahulu, Prof. Dr. Noor Azniza Ishak dari Pusat Pengajian Psikologi Gunaan, Dasar dan Kerja Sosial (SAPSP) Universiti Utara Malaysia (UUM) menyampaikan biodata dan pengenalan profesor.