Education

CTOM kukuhkan jalinan kerjasama antara tiga negara dan industri

Oleh: Dr. Wadi Khalid Anuar

Langkawi – “Conference of Technology and Operations Management (CTOM)” kali ke-4 yang berlangsung di Aloft Hotel, baru-baru ini berjaya mengukuhkan jalinan hubungan kerjasama antara tiga negara dan industri.

Pengarah CTOM4, Dr. Haikal Ismail berkata, CTOM4 dianjurkan oleh Pusat Pengajian Pengurusan Teknologi dan Logistik (STML), Universiti Utara Malaysia (UUM) bersama Pusat Pengajian Bisnes, IPB Universiti, Indonesia, mencatat sejarahnya tersendiri kerana ia merupakan persidangan pertama di luar kampus berbanding siri yang lalu.

Jelasnya, persidangan ini mendapat sambutan di kalangan akademia dari pelbagai negara serta wakil industri dalam memastikan pertukaran idea yang rancak meliputi pelbagai perspektif merentasi sempadan negara.

“Lebih 80 peserta, termasuk 17 ahli jawatankuasa, dengan 30 daripadanya menyertai secara dalam talian. Mereka termasuk profesor, ahli akademik, penyelidik dan pelajar antarabangsa dari Indonesia, Thailand, India, Nigeria, Qatar serta Bahrain.

“Persidangan CTOM4 bukan sahaja berjaya mengumpulkan pakar akademik dan industri, tetapi juga memperkukuhkan kerjasama strategik antara universiti dan industri, menjadikan acara ini satu pencapaian bermakna bagi semua pihak terlibat,” ujarnya.

Beliau bersyukur di atas kejayaan ini dan menyampaikan setinggi-tinggi penghargaan kepada UUM di bawah kendalian Jawatan Kuasa Seminar Universiti oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dr. Russayani Ismail serta Dekan Pusat Pengajian, Prof. Madya Dr. Mohamed Najib Salleh dan mantan Dekan Pusat Pengajian, Prof. Dr. Norhasni Osman.

“Keberhasilan persidangan ini adalah hasil kerjasama dan dedikasi ahli jawatankuasa yang bekerja keras memastikan kejayaan acara ini,” katanya.

Pada siri penganjuran kali ini CTOM4 turut bekerjasama dengan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dan Thaksin University, Thailand, selain menerima penajaan dari PKT Logistics Sdn Bhd, Qatar Airways, MSM Malaysia Holdings Berhad, D&D Control Sdn Bhd, Metalcoat Engineering Sdn Bhd, Itau Travel & Tours, dan Hasani Group.

Persidangan ini turut dimeriahkan dengan forum industri yang menampilkan panel tersohor negara seperti Dato’ Seri (Dr.) Michael Tio (Group CEO, PKT Logistics Group Sdn Bhd), Dato’ Ramli Mohd Tahir (KDEB Waste Management Sdn Bhd), dan Mohd. Ridwan Mohamad Yunus (D&D Control (M) Sdn Bhd), dengan Prof. Madya Dr. Zulkifli Mohamed Udin dari STML sebagai moderator.

Kemuncak persidangan menyaksikan tiga peserta merangkul anugerah ‘Best Presenter Award’, iaitu Fithriyyah Shalihati dan Anggi Mayang dari IPB Universiti, serta Mohd Riduan Jamalludin dari Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).

Minyu Zheng dari Universiti Putra Malaysia dinobatkan sebagai pemenang ‘Best Paper Award’ dan turut diraikan dengan hadiah tiket penerbangan ke Tashkent, Uzbekistan, yang ditaja oleh Qatar Airways dan diserahkan oleh Dato’ Muzammil Mohamad, Pengurus Qatar Airways Bagi Rantau Asia.

Manakala bengkel SmartPLS yang dikendalikan oleh Prof. T. Ramayah pada hari kedua persidangan telah disertai oleh 20 peserta dari dalam dan luar negara. 

Related Articles

Back to top button