Education

INASIS Luar Kampus UUM ke Rajamangala University of Technology Srivijaya

SONGKHLA: Seramai 19 peserta termasuk dua pegawai pengiring terdiri daripada Ahli Jawatankuasa Kepimpinan dan Pembangunan Siswa dan Residen Siswa (JKPSRS) Inapan Siswa (INASIS) Luar Kampus, Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menyertai program mobility ‘Crossing Horizon: UUM Off-Campus- Rajamangala Leadership Mobility’ selama lima hari bermula 13 Ogos lalu.

Program ini adalah hasil kerjasama antara Rajamangala University of Technology Srivijaya (RUTS) dan INASIS Luar Kampus UUM, Malaysia dengan objektif mempromosikan program kepimpinan, pertukaran budaya, pembelajaran bahasa, serta perkongsian idea dan pengalaman melalui pelbagai aktiviti sepanjang lima hari.

Pengarah Program, Nuranis Adilla Baharuddin berkata, program ini telah membuka banyak peluang baru untuk pertukaran akademik dan budaya, sekali gus membuka jalan untuk kerjasama masa depan yang akan memberi manfaat kepada pelajar.

Menurutnya, pelbagai aktiviti telah dijalankan di seperti lawatan ke fakulti-fakulti di RUTS, aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR) pembersihan Pantai Samila, pembentangan program berpotensi akan datang bersama pelajar RUTS, lawatan ke Pesta Pertanian di Prince of Songkhla (PSU) dan aktiviti CSR di Masjid Songkhla.

“Menariknya, pelajar UUM turut mengambil bahagian dalam aktiviti-aktiviti di Pesta Pertanian dengan melibatkan diri bersama masyarakat tempatan dan berkomunikasi untuk memahami budaya pertanian dan makanan penduduk tempatan.

“Program ini disifatkan sebagai inisiatif yang sangat bernilai dalam memupuk kemahiran jaringan atau ‘networking’ dalam kalangan mahasiswa dari Malaysia dan Thailand,” katanya.

Dekan Fakulti Kejuruteraan, Prof. Madya Surasit Rawangwong serta Dekan Fakulti Pendidikan Industri dan Teknologi, RUTS, Prof. Madya Chaiya Tanaphatsiri menyambut baik program ini dan menyatakan bahawa ia bukan sahaja memberi peluang untuk pertukaran pengetahuan budaya tetapi juga membina hubungan yang baik antara dua institusi pengajian tinggi yang berlainan bidang.

Perbincangan turut diadakan di antara pegawai Jabatan Hal Ehwal Antarabangsa RUTS, Dr. Lamun Kayurin merangkap Timbalan Presiden RUTS bersama pegawai pengiring, FELO INASIS Luar Kampus, Laura Lim Sie Yi dalam usaha meneruskan memorandum persefahaman (MOU) antara UUM dan RUTS.

Sementara itu, Pengetua Luar Kampus, Mohd Sukri Othman berkata, sebagai INASIS baharu, INASIS Luar Kampus bertekad untuk terus mengembangkan jaringan kerjasama antarabangsa, sekali gus menyediakan pengalaman pendidikan yang tidak ternilai kepada pelajarnya. – Laura Lim Sie Yi

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button