Program angkat bersama pengusaha nanas beri peluang bantu tingkat pendapatan
SINTOK: Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan (SBM), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menerima lawatan dari pihak Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM), Kedah berserta pengusaha-pengusaha nanas di sekitar daerah Kubang Pasu bagi satu inisiatif pelaksanaan Program Service Learning Malaysia – University for Society (SULAM) sesi A241 SBM.
Program jaringan ini merupakan satu strategi berstruktur yang memberikan peluang kepada pelajar khususnya dalam membantu meningkatkan hasil pendapatan pengusaha nanas di kawasan sekitar daerah Kubang Pasu.
Ia merupakan kolaborasi yang melibatkan pihak univerisiti (UUM), pihak industri (LPNM) dan juga komuniti (pengusaha nanas). Program ini merupakan initiatif anjuran bersama pensyarah-pensyarah kursus SULAM sesi A241 SBM berserta Jawatankuasa Jaringan Komuniti dan SULAM, SBM.
Kursus SULAM merupakan satu kaedah pengajaran dan pembelajaran yang menggabungkan objektif pembelajaran kursus dan khidmat komuniti. Ia juga melibatkan pelajar berinteraksi dengan komuniti bagi menyelesaikan permasalahan setempat dengan menggunakan pengetahuan dan kemahiran yang mereka pelajari di bilik kuliah.
Dekan SBM, Prof. Madya Dr. Shuhymee Ahmad berkata, inisiatif ini dilihat sebagai langkah penting dalam memperkasakan Program SULAM khususnya di peringkat Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan serta pendedahan praktikal kepada pelajar-pelajar terutamanya dalam menyalurkan khidmat mereka kepada komuniti setempat sejajar dengan tujuan utama Program SULAM.
Menurutnya, lawatan ini bertujuan untuk mempertimbangkan cara pengurusan program SULAM oleh pensyarah, pelajar, pihak LPNM, serta pengusaha-pengusaha nanas di sekitar daerah Kubang Pasu sepanjang sesi A241 berjalan.
Katanya, lawatan ini juga dapat mempromosikan persefahaman yang lebih baik antara pihak universiti (UUM), industri (LPNM) dan komuniti (pengusaha nanas) dalam menjalinkan hubungan dan kerjasama pada masa akan datang.
SULAM mempunyai nilai kredit dan perlaksanaan khidmat komuniti itu dikira dalam jumlah jam pelajar belajar kursus yang berkaitan di institut pengajian tinggi (IPT). Oleh itu, pada sesi A241, terdapat tiga kursus SULAM yang telah ditawarkan oleh SBM iaitu BPCMK3103 Komunikasi Pemasaran Bersepadu, BPMEK3053 Seminar Keusahawanan, dan BPINK3053 Sistem Maklumat Pengurusan. Oleh itu, kesemua kursus-kursus ini akan menjalankan projek SULAM bersama-sama dengan komuniti pengusaha nanas daerah Kubang Pasu, Kedah. – Dr. Siti Noorjannah Abd Halim