“iMathKidzPlaygroup” perkasa penguasaan penyelesaian masalah matematik murid luar bandar
Gambar Nur Syafiqah Faidzul Hassan
KUBANG PASU: Pasukan penyelidik dari Institute of Excellent Teachers and Leaders in Education (IETLE), Pusat Pengajian Pendidikan (SOE), Universiti Utara Malaysia (UUM) terus komited membantu meningkatkan penguasaan penyelesaian masalah matematik dalam kalangan murid luar bandar melalui sesi pembelajaran interaktif berasaskan permainan yang dikenali sebagai “iMathKidzPlaygroup”.
Ketua Penyelidik yang juga merupakan pengarah IETLE, Prof. Madya Dr. Siti Nazuar Sailin berkata, program “iMathKidzPlaygroup” telah memasuki modul keempat bertajuk “Ops Masalah 1” yang memberi fokus kepada penguasaan penyelesaian masalah matematik dengan pendekatan yang lebih interaktif dan bermakna serta penggunaan Bahan Bantu Mengajar (BBM) yang lebih realistik dan berkait dengan konteks kehidupan harian.
Sementara itu, ahli penyelidik, Zolkefli Bahador berkata, kumpulan pelajar telah diberikan sejumlah spesimen wang dan brosur membeli belah. Mereka perlu merancang pembelian dengan semua wang yang ada.
“Melalui aktiviti ini, pelbagai operasi matematik perlu dilakukan untuk mengira kos pembelian dan baki wang dengan cara yang lebih praktikal. Kaedah ini bukan sahaja membantu mereka memahami nilai wang dan menyelesaikan cabaran yang diberikan, tetapi juga memberi pendedahan awal kepada asas pengurusan kewangan,” katanya.
Salah seorang fasilitator, Nur Hanisah Mazlan berkata, penggunaan BBM yang sesuai dan realistik sangat membantu untuk meningkatkan kefahaman murid.
Menurutnya, di dalam modul ini, model jam jarum digunakan untuk menentu, menukar dan mengira masa dengan lebih berkesan. Kemahiran menukar sistem masa 12 ke 24 jam adalah sangat penting untuk mereka menyelesaikan masalah matematik yang berkaitan.
“Selain itu, BBM berbentuk ‘puzzle’ digunakan untuk melaksanakan aktiviti penyelesaian masalah berkaitan masa dan waktu.
“Pendekatan ini bertujuan untuk memperkenalkan konsep masa dan waktu dengan cara yang menyeronokkan dan mudah difahami,” katanya.
Seorang peserta, Muhammad Atif Yafik Nordin, murid Tahun Enam, Sekolah Kebangsaan Hakim Teh berasa teruja apabila dapat memegang dan menggunakan model wang dengan nilai yang besar hingga ratusan ringgit yang sebelum ini hanya dilihat sebagai gambar di dalam buku teks.
Selain itu, peserta telah dibantu oleh para fasilitator dan sukarelawan untuk memahami dan menyelesaikan masalah matematik di dalam buku aktiviti “iMathKidzPlaygroup” yang telah direka khas oleh ahli penyelidik.
Program inovasi sosial ini telah mendapat dana Skim Geran Inovasi Sosial daripada Centre of University-Industry Collaboration (CUIC), UUM. Seramai 60 orang murid luar bandar daripada Komuniti Mukim Jeram, Tunjang terlibat dalam program ini.
Modul kelima program ini akan disambung pada minggu seterusnya dengan tajuk “Ops Masalah 2”. – Mohamad Amir Rahman Mohamad Ariffin