IFEX 2024 meneroka kolaborasi dan jaringan global untuk masa depan pendidikan
SINTOK, 4 November 2024 – UUM International Faculty Exchange Week (IFEX) 2024 menjadi pemangkin kepada kolaborasi yang lebih erat antara UUM dan universiti dari seluruh dunia.
Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa, UUM, Prof. Dr. Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata, IFEX menawarkan peluang berharga untuk memanfaatkan kepelbagaian pengalaman kepada peserta yang terdiri daripada profesor dan pensyarah jemputan dari Poland, Lithuania, Indonesia, Pakistan, dan Vietnam.
“Dengan berkongsi perspektif akademik global dan idea penyelidikan, kita dapat bekerjasama untuk menangani cabaran utama seperti kelestarian, ekonomi digital, dan peranan pendidikan dalam membentuk masyarakat yang inklusif.
“Penyertaan profesor dan pensyarah jemputan dalam IFEX selama seminggu melibatkan kepakaran, perspektif dan penglibatan dengan komuniti akademik kami membentuk asas untuk kerjasama yang berpanjangan merangkumi penyelidikan bersama, penerbitan bersama juga pertukaran pelajar dan mobiliti akademik.
“Sebagai profesor dan pensyarah jemputan, anda memainkan peranan penting dalam memudahkan pertukaran ini dengan menggalakkan pelajar anda untuk terlibat dengan kurikulum antarabangsa kami, komuniti yang pelbagai,” ujarnya pada program yang berlangsung di Auditorium 1, Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB) UUM, semalam.
Jelasnya, IFEX membuka peluang untuk membina hubungan, meneroka peluang penyelidikan kolaboratif dan mendapatkan pandangan yang lebih mendalam mengenai amalan akademik global.
“Kami melihat banyak manfaat melalui kolaborasi dan pertukaran idea menyatukan kerjasama dan memajukan bidang akademik melalui pertukaran antarabangsa.
“Ramai di antara anda memiliki pengalaman yang berbeza dalam bidang pengajaran, pembelajaran, penyelidikan dan ini adalah sesuatu yang boleh kita terokai bersama,” katanya ketika merasmikan program anjuran Pusat Hal Ehwal dan Kerjasama Antarabangsa (CIAC).
Menurutnya, program ini menyediakan platform untuk meneliti pelbagai inisiatif kerjasama yang boleh dijalankan bersama komuniti akademik UUM di samping memberi peluang kepada peserta untuk berinteraksi, membina hubungan yang bermakna, juga mengenali UUM.
“Salah satu usaha utama adalah dalam pengembangan program dwi-ijazah, ijazah berganda, serta pertukaran staf dan pelajar, sama ada dengan kredit atau tanpa kredit selain menggalakkan kolaborasi geran antarabangsa dan geran padanan antara UUM dan rakan strategik,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Pengarah CIAC, Prof. Madya Ts. Dr. Norliza Katuk berkata, IFEX membuka peluang untuk membina hubungan, meneroka peluang penyelidikan kolaboratif dan mendapatkan pandangan yang lebih mendalam mengenai amalan akademik global.
“IFEX mampu mengukuhkan hubungan antara UUM dan komuniti akademik global, memperluas perspektif akademik, sekali gus menetapkan standard baru dalam kolaborasi pendidikan tinggi merentas sempadan dalam membina jaringan akademik yang berkualiti.
“Melalui acara ini dapat merancakkan penyelidikan bersama, penerbitan bersama, pengajaran kolaboratif, pertukaran akademik jangka panjang, memupuk pertukaran yang kukuh tentang metodologi pengajaran inovatif dan penyelidikan terkini,” ujarnya.