Perkasakan ekosistem pemboleh daya
14 November 2024 – Pemantapan ekosistem pemboleh daya adalah penting untuk merealisasikan visi ekonomi madani, perancangan KPT, dan memartabatkan kembali nilai ilmu tersebut di mata masyarakat.
Berucap pada Majlis Konvokesyen ke-37 Universiti Utara Malaysia, Sesi ketujuh di Dewan Mu’adzam Shah, semalam Naib Canselor UUM, Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan menyentuh tentang salah satu fokus Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri DiRaja Dr. Zambry Abd Kadir iaitu Pemantapan Ekosistem Pemboleh daya.
“Bagi merealisasikan visi ekonomi MADANI, usaha untuk memperkasakan ekosistem pemboleh daya merupakan salah satu daripada dimensi yang kritikal.
“Pemboleh daya yang dimaksudkan daripada perspektif ekonomi MADANI adalah berkait dengan usaha untuk mencapai tujuh penanda aras dalam masa 10 tahun yang diletakkan dalam dokumen kerangka ekonomi MADANI itu sendiri,” ujarnya.
Penanda aras ini antaranya pertumbuhan ekonomi, Malaysia berazam untuk berada di kedudukan antara 30 ekonomi terbesar dunia; daya saing, iaitu berada pada kedudukan ke-12 dalam Indeks Daya Saing Global; pampasan pekerja yang lebih adil, iaitu usaha untuk mencapai peratusan pendapatan buruh sehingga 45 peratus daripada jumlah keluaran dalam negara kasar (KDNK) negara; pemerkasaan wanita, dengan usaha untuk meningkatkan penyertaan wanita, iaitu sebanyak 60 peratus dalam tenaga buruh negara.
Dalam konteks pendidikan pula katanya, beberapa pemboleh daya seperti memupuk kecintaan kepada ilmu dan juga pembudayaan ilmu dalam masyarakat sangat penting.
“Di sinilah pentingnya peranan universiti dan ahli akademik dalam memperkasakan ekosistem pemboleh daya ini, sekali gus membantu pembinaan budaya dan ketamadunan sesebuah masyarakat.
“Budaya pembelajaran secara berterusan juga agak berkurangan dalam kalangan masyarakat, dengan jumlah pembacaan buku rakyat Malaysia adalah rendah berbanding dengan masyarakat maju yang lain,” katanya.
Ujarnya, gejala berita palsu dalam masyarakat semakin berleluasa akibat daripada ledakan teknologi dan juga sumber maklumat yang kebanyakannya pada ketika ini diperolehi dalam platform media sosial.
“Adakah dengan menonton beberapa minit klip video di laman media sosial tertentu sudah dianggap sesuatu yang benar?
“Jika ekosistem pemboleh daya tidak dimantapkan, dua perkara yang membimbangkan akan berlaku. Pertama, kita akan melahirkan mahasiswa yang mempunyai higher education capital (HEDCAP) yang rendah; yang kedua, tahap literasi masyarakat yang statik.
“Ini bermakna, usaha untuk mencipta sebuah masyarakat MADANI sukar untuk direalisasikan.
Soalnya, apakah sudah berlaku ketersediaan pekerja yang berkemahiran tinggi dalam pasaran buruh tempatan untuk mendepani perubahan ekonomi seperti yang telah diletakkan dalam Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030, ataupun Pelan Strategik Semikonduktor Kebangsaan (NSS).
“Saya yakin jika literasi ekonomi rakyat dapat ditingkatkan, usaha untuk mentransformasi ekonomi dapat dilakukan dengan baik dan dapat mengurangkan kos pembatalan dasar, ataupun visi ekonomi yang sudah ditetapkan,” ucapnya.
Tambahnya, ahli akademik perlu menjadi pemimpin kepada masyarakat dalam kepakaran ilmu mereka untuk aktiviti advokasi, dan bukannya menjadi pengikut kepada pendapat massa yang belum tentu lagi mempunyai kebenarannya.