Kem Tahsin Solat latih pelajar pelihara iman
Gambar Rozita Mohd Rejab
SINTOK, 19 November 2024: Solat merupakan rukun Islam kedua bagi umat Islam selepas mengucap dua kalimah syahadah. Sekiranya seseorang individu muslim itu tidak menjaga solatnya, maka tidak sempurnalah iman seseorang muslim tersebut.
Menyedari betapa pentingnya menjaga solat bagi setiap individu muslim, maka Pusat Islam Universiti Utara Malaysia (UUM) dengan kerjasama Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kepala Batas, Kedah telah menganjurkan Program Kem Tahsin Solat kepada pelajar Tingkatan Satu di Surau An Nur sekolah tersebut.
Pegawai Tadbir Pusat Islam, Madihah Mohamed Ibrahim berkata, objektif utama program ini adalah untuk menambah ilmu pengetahuan, kemahiran dan pengalaman mendirikan solat secara teori dan amali dalam kalangan peserta.
Selain itu, katanya, pelajar dapat mengamalkan solat lima waktu dengan ilmu dan kefahaman yang betul melalui sesi ceramah dan simulasi solat secara individu dan berjemaah dalam program ini.
Seramai 211 pelajar telah memberikan komitmen yang tinggi dan bersemangat ketika mendengar taklimat dan menjawab soalan kuiz yang telah di berikan oleh penceramah dari Pusat Islam iaitu Mohd Jazlan Aidil Mat Jamil.
Peserta, Asma Najwa Azwan berkata, dia amat teruja mengikuti program ini kerana bentuk penyampaian yang di berikan oleh kedua penceramah sangat menarik dan tidak membosankan, di samping pihak penganjur juga menyediakan pelbagai hadiah yang menarik bagi peserta yang berjaya menjawab kuiz mengenai solat.
Hadir sama Guru Kanan Kemanusiaan SMK Kepala Batas, Laili Farhana Izhar bagi sesi penyampaian hadiah. – Rozita Mohd Rejab