Kem Akil Baligh mendewasakan pelajar SK Felda Bukit Tangga
Berita dan gambar Rozita Mohd Rejab
SINTOK, 20 November 2024: Dalam Islam, akil baligh iaitu cukup umur adalah peralihan daripada alam kanak-kanak kepada alam remaja. Kanak-kanak yang sudah akil baligh bertanggungjawab untuk menanggung dosa dan pahala sendiri, boleh membezakan antara yang baik dengan yang buruk serta mampu berfikiran secara matang dan rasional dalam membuat sesuatu keputusan.
Menyedari betapa pentingnya proses peralihan ini, Pusat Islam Universiti Utara Malaysia (UUM) dengan kerjasama Sekolah Kebangsaan (SK) Felda Bukit Tangga telah menganjurkan Program Kem Akil Baligh kepada pelajar Tahun 5 dan 6 di Dewan Seminar Pusat Islam UUM.
Pegawai Tadbir Pusat Islam, Muhammad Kamil Yazid berkata, objektif utama program ini adalah bagi memberi pendedahan kepada pelajar berkaitan konsep mukallaf, tanda-tanda akil baligh dan tanggungjawab seorang mukallaf.
Pengenalan fasa awal keremajaan, mengenali perubahan ketara terhadap fizikal dan mental pelajar, kewajipan-kewajipan yang fardhu selepas akil baligh dan konsep bersuci turut dibincangkan, katanya lagi.
Syahril Fazli Mat Hussain dan Dakina Zakaria turut memberi ceramah mengenai mandi wajib dan hukumnya kepada 100 pelajar terlibat.
Mereka telah memberikan komitmen yang tinggi dan bersemangat ketika mendengar ceramah dan menjawab soalan kuiz yang telah diberikan sepanjang program diadakan.
Hadir sama, Guru Besar SK Felda Bukit Tangga, Ku Mat Yazid Ku Osman yang menekankan bahawa menjadi remaja bukan suatu pilihan tetapi suatu perjalanan yang perlu ditempuh dengan sebaiknya.
Melentur buluh biarlah dari rebungnya.