Education

400 sertai Festival Idea Putrajaya

PUTRAJAYA : Lebih 400 kakitangan dan pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM) menyertai Festival Idea Putrajaya anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini, bermula 27 hingga 29 November 2024.

Festival yang diangkat menjadi acara tahunan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir akan dijadikan sebagai antara program mercu tanda untuk negara dalam usaha mengangkat Putrajaya sebagai The City of Ideas untuk Malaysia dan dunia.

Program yang menyajikan forum, sidang selari, pameran, jualan, inovasi penyelidikan, bahan-bahan artifak sejarah adalah usaha merakyatkan idea secara besar-besaran di samping mempromosi Malaysia sebagai pusat wacana intelektual dan inovasi di peringkat serantau serta global.

Festival juga untuk menghimpunkan pemimpin, pemikir, pakar, pembuat dasar, ahli akademik, industri dan masyarakat umum dalam satu platform berprestij bagi membincang dan berkongsi idea-idea inovatif serta penyelesaian terhadap cabaran-cabaran semasa yang dihadapi oleh negara dan dunia.

Naib Canselor, Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan, berkata UUM menghantar kakitangan dan pelajar untuk menyertai program ini kerana ia amat bermakna dan bersejarah dalam usaha universiti melahirkan lebih ramai pemikir, pencetus idea dan mempertingkatkan pengetahuan mereka dalam inovasi dan penyelidikan.

Katanya, UUM menghantar satu produk inovasi – Inkubator Disleksia untuk menyertai pameran yang diketuai oleh Prof Madya Dr Husniza Husni, Prof Madya Dr Marhaiza Ibrahim, Prof Madya Ts  Dr. Nor Laily Hashim, Prof Madya Dr Alawiyah Abd Wahab dan Dr Nurul Izzah Abd Aziz dari Pusat Pengajian Pengkomputeran sebagai tanda UUM memberi sokongan padu terhadap penganjuran festival ini.

“Ini kerana festival ini, kita dapat menggabungkan semua pihak bukan hanya dari kalangan akademik tapi juga dari kalangan rakyat Malaysia yang boleh memberi pandangan terhadap sesuatu idea,” katanya.

Katanya, ini selari dengan hasrat KPT juga telah mewujudkan bank idea yang dapat memberi peluang kepada pengunjung festival Putrajaya untuk mengemukakan sebarang idea, pendapat atau pandangan yang dapat memberi manfaat kepada masyarakat dan negara.

Mohd Foad berkata, dalam program ini, 20 pelajar antarabangsa UUM dari Iraq, Yaman, Indonesia, Bangladesh dan Palestin diberi peluang menyertai beberapa program menarik seperti explorace, permainan tradisional, dan lain-lain menerusi program Meet and Greet With International Student in Malaysia (MAGNET) sempena festival.

Turut hadir, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof  Dr Russayani Ismail dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof Dr Ahmad Martadha Mohamed dan ketua-ketua jabatan.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button