“UUM Festival of Ideas” bongkar peranan AI terhadap tingkah laku manusia dan pembelajaran
SINTOK, 22 Disember 2024: Institute of Excellent Teachers and Leaders in Education (IETLE), Pusat Pengajian Pendidikan (SOE), telah berkolaborasi dengan dua buah pusat pengajian iaitu Pusat Pengkomputeran (SOC) dan Pusat Pengajian Psikologi Gunaan, Dasar dan Kerja Sosial (SAPSP) UUM dalam melaksanakan program “UUM Festival of Ideas: When machine meets human: Bridging AI, Learning and Behavior” di Dewan Seminar CAS, baru-baru ini.
Pengarah program, Prof Madya Dr. Norliza Kushairi yang merupakan Felo Kanan IETLE merangkap Pengurus Jawatankuasa Inovasi dan Pengkomersialan, SOE, berkata, objektif program ini adalah selari dengan objektif Program FOI di Peringkat KPT iaitu satu usaha merakyatkan idea dan pendidikan tinggi secara besar-besaran serta mempromosi Malaysia sebagai pusat wacana intelektual dan inovasi di peringkat serantau dan global melalui pendekatan sekerajaan (whole-of-government).
Menurutnya, UUM di bawah teraju Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof Dr Russayani Ismail dan barisan Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Inovasi), SOE dan SOC serta SAPSP telah mengambil inisiatif menyahut seruan KPT untuk menggerakkan idea ini di peringkat universiti.
Katanya, program ini telah berjaya menarik lebih kurang 250 peserta dalam dan luar universiti iaitu merangkumi pendidik, pelajar IPT dan pentadbiran Kolej Matrikulasi dan Institut Pendidikan Guru (IPG) sekitar Kedah, Pulau Pinang dan Perlis.
Program ini telah diisi dengan sesi perkongsian idea oleh Prof. Madya Dr. Azizi Abd Aziz (The AI Revolution: How It’s Quietly Shaping Your Everyday Decisions), Dr. Norazlina Zakaria (Artificial Intelligence: A Blessing or a Curse?) dan Prof. Madya Dr. Siti Nazuar Sailin (Becoming AI-Powered Educators: Are You Ready?).
Dr. Azizi telah berkongsi tentang kapasiti Kecerdasan Buatan (AI) dalam merevolusikan bagaimana manusia membuat keputusan melalui konsep kecerdasan bantuan dan kecerdasan tambahan. Berdasarkan data dan model matematik yang kompleks, AI mengenal pasti corak, keutamaan, dan memahami tingkah laku sekali gus membolehkan sistem AI membantu membantu melalui cadangan dan sokongan yang lebih spesifik dan tepat.
Kecerdasan tambahan meningkatkan keupayaan manusia, membantu dalam tugas-tugas kompleks seperti mendiagnosis penyakit atau mengoptimumkan strategi perniagaan. Integrasi ini, dengan menggabungkan pertimbangan manusia dengan ketepatan mesin sering tidak disedari, secara perlahan mempengaruhi pilihan kita.
Sementara Dr. Norazlina berkongsi tentang beberapa “rahmat” (blessing) daripada kemunculan AI kepada pensyarah dan pelajar seperti menjimatkan masa mendapat maklumat, penyediaan slaid, merumus artikel, membuat soalan peperiksaan, dan mengarang artikel/buku. Dalam bidang psikologi AI banyak membantu individu yang ada isu kesihatan mental menjadi teman berbual, meluahkan masalah serta meminta nasihat.
Beliau juga berkongsi tentang ‘bala’ (curse) akibat AI di mana ia mengancam peluang pekerjaan dalam sesetengah bidang kerana ia digantikan dengan robot, perbuatan ‘scam’ yang lebih mudah kerana suara dan wajah manusia lebih mudah ditiru oleh AI, serta isu plagiat dalam dunia akademia.
Dr. Azlina merumuskan bahawa AI seperti teknologi lain yang muncul, mempunyai kelebihan dan kelemahan tersendiri. Semakin ramai individu memanfaatkan AI untuk kebaikan, ia berpotensi menjadi rahmat kepada manusia. Oleh itu, golongan yang berhasrat membawa kebaikan perlu menguasai teknologi AI ini supaya segala keburukan yang timbul akibat manipulasi oleh pihak yang berniat jahat dapat dipintas atau disekat dengan segera.
Dr. Siti Nazuar pula memberi fokus kepada memperkasakan pendidik untuk menyesuaikan diri, berkembang maju, dan kekal relevan dalam era digital yang mencabar pada masa kini dengan mennggunakan aplikasi AI untuk mencipta kandungan pendidikan dan menjadikan pengajaran dan pembelajaran (PdP) lebih menarik.
Beberapa aplikasi AI bagi mencipta kandungan berbentuk imej, audio, mahupun video secara pantas seperti NotebookLM, Veed.IO dan Canva turut dikongsikan. Selain itu, peserta turut diperkenalkan dengan aplikasi bercirikan fungsi bantuan AI seperti Quizziz, Mentimeter dan Kahoot yang dapat membantu guru lebih efektif dan menjadikan sesi pengajaran pembelajaran lebih interaktif.
Dr. Siti Nazuar berkongsi idea tentang kepentingan menyediakan dan membentuk generasi Z dan Alpha dengan literasi dan pengalaman AI sebagai persediaan menghjadapi pasaran kerjaya masa hadapan.
Program sebegini merupakan langkah kecil tetapi bermakna ke arah transformasi pendidikan untuk masa depan. Memandangkan sambutan yang menggalakkan dan maklumbalas positif dari para peserta, program ini dijangka diadakan sebagai acara tahunan Pusat Pengajian seperti saranan Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Dr. Zambry Abd Kadir. – Prof. Madya Dr. Norliza Kushairi