Education

Atasi kemiskinan minda dengan ilmu

SINTOK –  “Orang kita Melayu ini pada hitungan am atau jumlahnya ialah suatu kaum yang tersangat miskin. Kemiskinan itulah sifatnya yang terlebih sangat lengkap dan nyata daripada lain-lain sifat kebangsaaannya dan ialah juga sebesar-besar kekurangan yang menjadikan mereka kalah atau ketinggalan di belakang dalam perlumbaan kemajuan.

“Miskin pada wang ringgit dan harta benda, miskin pada hemat dan cita-cita, miskin pada pelajaran dan latihan pengetahuan, miskin pada alat-alat kelengkapan otak dan pada beberapa sifat keperangaian yang tinggi dan mulia jadilah mereka tak dapat tidak daripada tersangkut dan ketinggalan dalam perjalanan bangsa-bangsa.”

Demikian pandangan Allahyarham Tan Sri Zainal Abidin Ahmad atau dikenali sebagai Za’ba tentang bangsa Melayu serta idea bernasnya yang melangkaui zaman.

Za’ba menerima Tokoh Akademia Negara Sepanjang Zaman yang disampaikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), sempena Majlis Syarahan Za’ba dan Sambutan Hari Akademia Negara 2024 di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), semalam.

Anwar menyifatkan Za’ba sebagai pencerah, pencetus idea semangat kesedaran bangsa   melepasi konteks zamannya serta melontarkan kemiskinan pelbagai dimensi.

“Miskin pada wang ringgit itu biasa, lebih malang jika miskin pada hemat dan putus harapan.

“Adakah miskin sebab sikap rakyat? mengapa tidak lihat kepimpinan yang terpalit dengan rasuah dan salah guna kuasa sehingga menyebabkan ketirisan dan masalah kemiskinan    tidak dapat selesaikan,” ujarnya.

Anwar turut memberi penghargaan kepada para akademia yang telah memberi sumbangan besar dalam dunia pendidikan negara, mengukuhkan peranan mereka sebagai tunjang pembangunan masyarakat dan negara.

Sementara itu, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir berkata, Majlis Syarahan Za’ba digandingkan dengan Sambutan Hari Akademia Negara 2024 yang jatuh pada 5 Oktober yang disambut di seluruh negara.

“Hari ini bukan sahaja mengenang jasa besar Za’ba tapi idea besarnya yang mengajak kita merenung secara kritis akan ketidak seimbangan sistem  sosial dan ekonomi yang wujud serta  menyeru kepada transformasi yag menyeluruh.

“Beberapa konsep kemiskinanan yang dilontarkan, beliau percaya kemiskinan bukan sahaja dalam bentuk material tetapi juga berbentuk minda justeru kemiskinan perlu diatasi secara berhemah dan menyeluruh,” katanya.

Usaha diambil untuk menangani kemiskinan melalui pendidikan yang berkualiti. Langkah ini selaras dengan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam melengkapkan otak dan watak seimbang dari segi ilmu.

“Saya ucapkan Selamat Hari Akademia semoga terus menyampai dan berkongsi ilmu  dengan masyarakat agar dapat mengatasi kemiskinan minda seterusnya mencapai banyak kejayaan,” ujarnya pada program yang disiarkan secara langsung.

Di Universiti Utara Malaysia, semua ahli akademik termasuk Naib Canselor, Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan turut menyaksikan majlis secara atas talian di Dewan Auditorium SoIS, UUM, semalam.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button