Education

Bengkel Pemantapan Pelan Strategik SOE mantapkan hala tuju 2025

Gambar Intan Shahirah Rusli

SINTOK, 4 Mac 2025: Bengkel Pemantapan Pelan Strategik 2025 telah dijalankan selama tiga hari bermula dari 24 hingga 26 Februari lalu di Hotel Hompton By the Beach, Pulau Pinang.

Dekan Pusat Pengajian Pendidikan, Prof. Madya Dr. Mohamad Khairi Othman berkata, bengkel ini bertujuan untuk menilai semula dan memantapkan pelan strategik Pusat Pengajian Pendidikan bagi tahun 2025.

Menurutnya, sepanjang bengkel tersebut, jawatankuasa di bawah pimpinan Timbalan Dekan Akademik dan Antarabangsa, Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni serta Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi telah terlibat dalam perbincangan intensif tentang visi, misi, dan objektif pusat pengajian, serta menganalisis pencapaian semasa dan cabaran yang dihadapi.

Ahli jawatankuasa telah dibahagikan kepada beberapa kumpulan kerja untuk membincangkan pelbagai aspek pelan strategik termasuk pengenalpastian inisiatif-inisiatif strategik baharu dan penambahbaikan terhadap inisiatif sedia ada.

Bengkel ini telah berjaya menghasilkan pelan strategik yang ditambahbaik dengan penekanan terhadap inovasi pedagogi, strategi pengantarabangsaan program akademik, pelan penyelidikan berfokus untuk meningkatkan impak akademik dan pelan tindakan konkrit beserta petunjuk prestasi utama (KPI) bagi memastikan kejayaan pelaksanaan.

Bengkel Pemantapan Pelan Strategik 2025 telah mencapai objektifnya dalam mengenal pasti hala tuju Pusat Pengajian Pendidikan untuk tahun 2025.

Komitmen dan penglibatan aktif daripada semua peserta bengkel telah memastikan perbincangan yang bernas dan penjanaan idea-idea baharu yang boleh dilaksanakan. Selain aktiviti perbincangan untuk memantapkan pelan strategik, Pusat Pengajian Pendidikan juga mengadakan solat subuh secara berjemaah dan kuliah Subuh untuk mengeratkan lagi ukhuwah staf.

Pelan tindakan yang dihasilkan akan menjadi panduan utama bagi aktiviti-aktiviti pusat sepanjang tahun 2025, yang bertujuan memperkasakan kedudukan Pusat Pengajian Pendidikan sebagai peneraju dalam bidang pendidikan. – Dr. Muhammad Noor Abdul Aziz

 

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button