Dari rumah ke pasaran global: Aspirasi halal kerepek coklat Kricos
Gambar AJK ASSIBEF
ACEH, 3 Jun 2025: Kumpulan peserta 2nd Aceh Summer School in Islamic Business, Economics and Finance (ASSIBEF) telah menyertai lawatan industri yang turut melibatkan pelajar dan para pensyarah daripada Pusat Pengajian Perniagaan Islam (IBS), Universiti Utara Malaysia (UUM) di perusahaan kerepek pisang coklat “Kricos” di Pulau Sabang, Indonesia.
Lawatan dari IBS yang diketuai Pengarah Institut Pengurusan Halal (IHM), Dr. Aina Abdul Mhd Khotib ini merupakan salah satu inisiatif untuk mendedahkan peserta kepada operasi perniagaan kecil dan sederhana (PKS) yang berpotensi besar dalam pasaran halal antarabangsa.
Ia juga merupakan sebahagian daripada program International Community Services: Innovation and Digital Marketing of Products to Asean Region.
Ketibaan rombongan disambut mesra oleh pemilik perniagaan, Baihaqi bersama isterinya. Sesi lawatan dimulakan dengan taklimat ringkas berkaitan sejarah penubuhan produk “Kricos” serta cabaran dan strategi yang dihadapi sepanjang pengoperasian perniagaan ini. Peserta turut berpeluang mengajukan soalan dalam sesi soal jawab yang berlangsung dengan penuh interaktif.
Antara perkongsian menarik ialah hasrat Baihaqi untuk mendapatkan pensijilan halal, bagi membina keyakinan pengguna Muslim serta membuka ruang yang lebih luas dalam pasaran domestik dan serantau. Usaha ini bertepatan dengan semangat foodpreneur halal yang diangkat dalam program lawatan ini.
Baihaqi berkata, pihaknya ingin memastikan produk ‘Kricos’ tidak hanya enak dan unik, tetapi juga diyakini halal oleh semua pengguna Muslim.
“Pensijilan halal adalah langkah penting untuk membawa jenama kami ke tahap yang lebih tinggi, khususnya dalam menembusi pasaran antarabangsa,” katanya.
Menariknya, perusahaan ini dijalankan secara berpusat di kediaman Baihaqi sendiri dan peserta diberi peluang untuk melihat secara langsung peralatan dan proses penghasilan kerepek pisang coklat. Pengalaman ini secara tidak langsung memberi pendedahan praktikal dan kefahaman mendalam kepada para peserta tentang pematuhan terhadap piawaian halal yang diamalkan di Indonesia.
Lawatan ini telah memberi manfaat besar kepada para peserta dalam meningkatkan kesedaran terhadap potensi industri makanan halal serta memberi inspirasi kepada mereka untuk terlibat secara lebih aktif dalam pembangunan keusahawanan halal di peringkat antarabangsa. – Dr. Hawwa Abdul Mokti