Dua pensyarah UUM perkasa jaringan ilmiah di Perancis
Gambar Prof. Madya Dr. Siti Nurazira Mohd Daud
MONTPELLIER, 17 April 2025: Dua pensyarah kanan dari Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan (SEFB), Universiti Utara Malaysia (UUM), iaitu Prof. Madya Dr. Abd Halim @ Hamilton Ahmad dan Prof. Madya Dr. Siti Nurazira Mohd Daud, telah menjalani program sabatikal selama sebulan di Montpellier Business School (MBS), Perancis, bermula 1 Disember hingga 31 Disember tahun lalu.
Montpellier Business School merupakan institusi rakan strategik rasmi UUM menerusi memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani sebelum ini.
Dr. Abd Halim berkata, lawatan akademik ini telah membuka ruang kepada kerjasama lebih erat antara kedua-dua institusi, khususnya dalam bidang penyelidikan dan penerbitan ilmiah di peringkat antarabangsa.
Menurutnya, sepanjang tempoh tersebut, mereka telah membentangkan hasil penyelidikan terkini kepada komuniti akademik di MBS.
Dr. Abd Halim membentangkan kajian bertajuk “Internet Finance and Economic Growth: Insight from Institutional Quality”, yang meneliti sejauh mana inovasi kewangan dapat menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi melalui peranan kualiti institusi, berdasarkan data daripada 34 negara.
Sementara Dr. Siti Nurazira membentangkan kajian bertajuk “FinTech and Unemployment: New Evidence on the Role of Labor Market Regulation”, yang mengupas hubungan antara pembangunan sektor teknologi kewangan (FinTech), regulasi pasaran buruh, dan kadar pengangguran, dengan data melibatkan 65 negara.
Turut hadir dalam sesi pembentangan tersebut ialah Prof. Dr. Van Hoang, pemegang Kursi Social and Sustainable Finance di MBS, yang berkongsi dapatan penyelidikan terkini beliau berkaitan isu biodiversiti. Sesi perbincangan kertas kerja telah dipengerusikan oleh Ketua Jabatan Kewangan dan Perakaunan, Montpellier Business School, Prof. Dr. Guillaume Andrieu.
Selain daripada pembentangan tersebut, beberapa siri perbincangan juga telah diadakan bersama ahli akademik MBS bagi meneroka peluang kolaborasi penerbitan dan penyelidikan rentas negara. Inisiatif ini membuka dimensi baharu dalam jalinan akademik yang berpotensi memanfaatkan kedua-dua institusi dalam jangka masa panjang.
Dalam kesempatan yang sama, kedua-dua pensyarah turut meluangkan masa menziarahi dan beramah mesra dengan pelajar SEFB, Angeline Ho, yang kini sedang mengikuti program mobiliti pelajar di MBS. Lawatan ini mencerminkan komitmen berterusan UUM dalam memastikan kebajikan pelajar dan memperkukuh sokongan akademik di peringkat global.
Lawatan ini bukan sahaja memperkukuh hubungan akademik dua hala, tetapi turut mencerminkan komitmen UUM dalam menjalin kerjasama global serta memperkasa penglibatan dalam wacana ilmu ekonomi dan kewangan di peringkat antarabangsa. – Prof. Madya Dr. Abd Halim @ Hamilton Ahmad