Education

KPO 2024/2025 mencorak pemimpin masa hadapan

Gambar Nordiana Nadia Nor Azni

PANGKOR, 3 Jun 2025: “Pemimpin bukan hanya mengetuai organisasi, tetapi perlu menjadi ejen perubahan dan duta kepada reputasi Inapan Siswa (Inasis),” kata Pengetua Inasis Sime Darby, Mohd Yusnaidi Md Sabri ketika merasmikan Ekspedisi Kepimpinan: Kursus Pengurusan Organisasi (KPO) sesi 2024/2025 yang berlangsung pada 30 April hingga 2 Mei lalu di Pulau Pangkor.

Beliau menekankan pentingnya kepimpinan berintegriti dan berpengaruh dalam membina budaya kerja positif serta memimpin rakan sebaya dengan nilai empati dan tanggungjawab sosial. Justeru, program ini digerakkan dengan matlamat untuk melahirkan pemimpin Jawatankuasa Kepimpinan dan Pembangunan Siswa (JKPS) yang berwibawa, cakna masyarakat serta bersedia menggalas amanah besar sebagai suara mahasiswa.

Sepanjang tiga hari dua malam, pelbagai aktiviti berimpak tinggi telah dijalankan, termasuk gotong-royong pembersihan pantai, edaran sumbangan makanan asas kepada penduduk memerlukan, serta sesi bimbingan belajar bersama pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pangkor.

Salah satu momen paling bermakna adalah kursus pengurusan jenazah, yang membuka perspektif rohani dan kemanusiaan dalam diri peserta serta masyarakat setempat.

Antara momen yang menarik juga ialah aktiviti penanaman pokok di Pantai Pasir Bogak dan gotong-royong di persisiran pantai yang turut memberikan impak yang tinggi, bukan sahaja dari aspek kelestarian alam sekitar, tetapi juga dalam memupuk rasa tanggungjawab sosial dan kesedaran ekologi dalam kalangan ahli JKPS.

Program turut disemarakkan dengan sesi Eksplorasi Kerjaya bersama alumni UUM, Ting Tai Fook dan Zarina Ishak, yang berkongsi kisah jatuh bangun dalam dunia profesional. Sesi ini membuka mata peserta tentang realiti kerjaya dan kepentingan membina kredibiliti serta rangkaian sejak di alam kampus.

Ucapan bermakna oleh Tai Fook mengingatkan peserta bahawa kejayaan sebenar bukan milik individu tetapi adalah hasil sokongan pelbagai pihak dan apabila berjaya nanti, jangan lupa kembali berbakti melalui ilmu dan kemahiran yang dimiliki.

Pesannya, “Kejayaan sebenar adalah apabila kita mampu memberi manfaat kepada orang lain.”

Pengarah Program, Nuratiqah Yahya berkata, program ini sangat memberi kesan mendalam kepada semua peserta.

Menurutnya, peserta bukan sekadar belajar tentang struktur organisasi, tetapi juga diterapkan nilai kemanusiaan dan keprihatinan terhadap masyarakat – inilah asas sebenar kepimpinan.

Kursus kepimpinan ini berakhir dengan program Cakna Kampus yang melibatkan sesi interaktif bersama pelajar SMK Pangkor. – Nurul Atiqah Isa

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button