Kunjungan hormat TVET UUM ke Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK)
Berita dan gambar oleh: Dr. Wahida Yaakub
Putrajaya, 12 Mac 2026: Pengurusan TVET Universiti Utara Malaysia (UUM) telah mengadakan kunjungan hormat ke Pejabat Ketua Pengarah Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) di Kompleks D, Kementerian Sumber Manusia, Putrajaya.

Kunjungan ini bertujuan memperkukuh hubungan strategik serta memperkasa pengurusan TVET melalui kerjasama antara institusi akademik dan agensi kerajaan.
Kunjungan hormat ini diketuai oleh Pengarah Pengurusan TVET UUM, Prof. Madya Ts. Dr. Hj. Shanusi Hj. Ahmad, bersama Dekan UUMKL, Prof. Madya Dr. Nik Adzrieman Abdul Rahman serta tiga orang ahli yang lain.
Pertemuan bersama Ketua Pengarah Jabatan Pembangunan Kemahiran, Ir. Ts. Dr. Kamaruzaman Hj. Md. Ali, Timbalan Ketua Pengarah, Ir. Ts. Dr. Azmi bin Ahmad, serta pegawai daripada pelbagai bahagian di Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) yang turut hadir dalam sesi perbincangan tersebut.

Kedua-dua pihak telah membincangkan potensi kolaborasi dalam pelaksanaan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM), Pengiktirafan Pencapaian Terdahulu (PPT) serta peluang memperluas jaringan kerjasama TVET yang melibatkan industri dan institusi latihan.
Pihak TVET UUM turut membentangkan sistem aplikasi yang dibangunkan oleh TVET UUM kepada Ketua Pengarah dan pasukan pengurusan JPK sebagai inisiatif menyokong pengurusan serta pemantauan ekosistem TVET secara lebih sistematik dan bersepadu.
Kunjungan ini diharapkan dapat membuka ruang kerjasama lebih luas antara TVET UUM dan JPK dalam memperkukuh ekosistem TVET negara serta menyokong pembangunan modal insan berkemahiran tinggi.



