Education

Majlis Graduasi AIA Apex Padawan raikan usaha dan komitmen peserta

Gambar Siti Fatimah Abdullah

KUALA LUMPUR, 23 Jun 2025: Seramai 18 pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM) telah diraikan dalam Majlis Graduasi AIA Apex Padawan yang berlangsung di Menara AIA Sentral, di sini.

Program ini merupakan inisiatif Pusat Pembangunan Kerjaya dan Kebolehpasaran Graduan (PPKKG) di bawah program School of Hard Knocks (SoHK), dengan kerjasama strategik bersama AIA Berhad.

Program AIA Apex Padawan bertujuan melahirkan generasi muda yang bersedia menyahut cabaran dalam bidang perkhidmatan kewangan dan perancangan insurans. Sepanjang program, peserta menerima latihan intensif merangkumi kemahiran keusahawanan, penyelesaian masalah secara kreatif, serta bimbingan langsung daripada pakar industri.

Pengarah Bersekutu AIA Akademi Elite, Sham Azwah berkata, program ini adalah peluang terbaik untuk generasi muda menimba ilmu dan membina sahsiah profesional.

“Penyertaan pelajar UUM dalam program ini membuktikan bahawa kolaborasi antara industri dan institusi pendidikan mampu melahirkan bakat berkualiti.

“AIA komited untuk terus memainkan peranan dalam membangunkan generasi profesional masa depan,” katanya.

Turut hadir, Dekan Hal Ehwal Pelajar UUM, Prof. Madya Dr. Zainudin Omar, yang menzahirkan penghargaan kepada pihak AIA atas kerjasama yang erat dalam menjayakan program ini.

“Program sebegini bukan sekadar menyampaikan ilmu, tetapi turut membentuk karakter, nilai dan kemahiran insaniah yang amat diperlukan dalam dunia pekerjaan masa kini,” katanya.

Sebagai penghargaan, setiap pelajar menerima Touch ‘n Go Reload Pin bernilai RM300, manakala kumpulan terbaik, Vortexes, telah dianugerahkan baucar pelancongan bernilai RM500 seorang atas pencapaian cemerlang sepanjang program.

Majlis ini turut dihadiri Pengarah PPKKG, Dr. Fikriyah Abdullah, dan Penyelaras SoHK, Dr. Adilah Azhari,  yang turut sama memainkan peranan penting dalam pelaksanaan program ini dari awal hingga akhir.

Peserta kini bersedia melangkah ke alam profesional dengan keyakinan dan jaringan industri yang kukuh hasil bimbingan berstruktur dan pengalaman secara langsung sepanjang program. – Anis Zulaikha Kamal

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button