Penyelidik UUM perkasa komuniti Sik melalui Bengkel Pemandu Pelancong Setempat
Gambar Pasukan Penyelidik Dana Inovasi Sosial dan Kajian Sosial
SIK, 15 Jun 2025: Bengkel Pemandu Pelancong Setempat Siri 1 telah berlangsung selama dua hari, bermula 13 hingga 14 Jun lalu bertempat di Dewan Anggerik, Sik Inn.
Ketua Penyelidik, Dr. Salmah Omar berkata, bengkel ini merupakan sebahagian daripada pelaksanaan projek penyelidikan yang dijalankan oleh pasukan penyelidik Universiti Utara Malaysia (UUM) melalui Dana Inovasi Sosial dan Kajian Sosial, yang memberi fokus kepada pemerkasaan komuniti luar bandar melalui pembangunan modul pemandu pelancong setempat.
Menurutnya, pendekatan penyelidikan yang dilaksanakan berteraskan pemindahan ilmu kepada komuniti dengan matlamat membina kapasiti pelancongan setempat secara berstruktur dan lestari.
“Dapatan kajian sebelum ini mendapati ketiadaan pakej pelancongan rasmi serta kekurangan pemandu pelancong yang mendapat latihan khusus. Maka, modul ini dibangunkan bagi membantu komuniti agar mampu menjadi pemandu pelancong profesional yang membawa identiti daerah mereka,” katanya.
Sepanjang dua hari bengkel, peserta didedahkan kepada lima modul utama yang disampaikan oleh Dekan Pusat Pengajian Pengurusan Pelancongan, Hospitaliti dan Acara (STHEM), Prof. Madya Dr. Johan Effendi Ibrahim.
Turut serta ialah pegawai dari Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) yang berkongsi maklumat berkaitan proses perlesenan pemandu pelancong.
Seramai 30 peserta komuniti telah menyertai bengkel ini dan akan membentangkan tugasan masing-masing dalam Siri 2 yang dijadualkan berlangsung pada akhir Julai 2025.
Majlis Daerah Sik (MDS) turut berkongsi potensi pelancongan tempatan yang meliputi segmen eko, agro, ibadah, astro, gastro dan warisan.
Pasukan penyelidik projek ini turut disertai Dr. Nor Hanani Ismail dari SLCP, Prof. Madya Dr. Zawiyah Mohd. Zain dari SOG, serta Dr. Muna Maryam Azmy dari STHEM.
Gabungan penyelidik rentas disiplin ini membolehkan pendekatan holistik dan praktikal dalam merangka modul serta pelaksanaan projek, yang akhirnya memberi impak terus kepada pembangunan komuniti tempatan. – Dr. Salmah Omar