Education

Program CSR SLCP di Ma’ahad Tahfiz Hamalatul Quran perkukuh jaringan ilmu dan budaya

Gambar SLCP

BALING, 3 Julai 2025:  Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah (SLCP), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menganjurkan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) bertemakan “Citra Ilmu dan Warisan: Menyemai Ilmu, Memelihara Budaya” di Ma’ahad Tahfiz Hamalatul Quran, baru-baru ini.

Program tersebut disertai oleh seramai 23 staf akademik dan staf pentadbiran SLCP bersama pelajar tahfiz dalam usaha memperkukuh jaringan ilmu dan budaya rentas institusi.

Pengarah program, Prof. Madya Dr. Mohd. Nizho Abdul Rahman berkata, penganjuran program ini adalah sebahagian daripada komitmen SLCP dalam merakyatkan ilmu dan memartabatkan warisan tempatan melalui kerjasama rentas institusi.

“Kita bukan sekadar menyampaikan ilmu dalam bentuk teori, tetapi juga menghidupkan nilai dan amalan warisan yang menjadi teras kepada jati diri bangsa,” katanya.

Antara pengisian utama program ini termasuklah sesi motivasi akademik, aktiviti pemindahan ilmu warisan dan budaya Melayu, serta pengenalan asas Bahasa Inggeris, Bahasa Jepun dan Bahasa Mandarin oleh tenaga pengajar SLCP dan turut hadir adalah dua tenaga pengajar dari Institut Kong Zi.

Kemuncak program menyaksikan aktiviti memasak bubur Asyura tradisional resepi warisan, yang telah menggabungkan tenaga antara staf SLCP dan pelajar-pelajar tahfiz. Bubur Asyura yang dimasak bukan sekadar hidangan, tetapi membawa nilai sejarah dan warisan turun-temurun.

Resipi ini merupakan warisan masyarakat Melayu Kedah yang semakin tenggelam ditelan zaman akibat kurangnya pewarisan pengetahuan tentang bahan dan kaedah penyediaannya.

Mudir Ma’ahad Tahfiz Hamalatul Quran, Muhammad Farhan Alsanadi berkata, program ini merupakan yang pertama seumpamanya dilaksanakan di institusi tersebut.

Beliau menyatakan bahawa program seperti ini memberi pendedahan baharu kepada pelajar dalam bentuk ilmu praktikal dan sosial yang bersifat membina sahsiah.

“Bubur Asyura bukan hanya sekadar makanan tradisi, tetapi lambang kepada usaha memelihara budaya dan membentuk akhlak melalui kerjasama serta kesabaran.

“Saya berhasrat agar resipi warisan ini dapat terus dipelajari dan diaplikasikan oleh generasi muda serta masyarakat umum,” katanya. – Zeety Kartini Abdul Hamid

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button