SOE perkukuh jalinan strategik pendidikan bersama ILDAN dan JPN Kelantan
Gambar SOE
KOTA BHARU, 11 Jun 2025: Pusat Pengajian Pendidikan (SOE), Universiti Utara Malaysia (UUM) memperkukuh jalinan strategik pendidikan menerusi kunjungan hormat ke Institut Latihan Darul Naim (ILDAN) dan Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan (JPNK), baru-baru ini.
Delegasi SOE yang diketuai oleh Dekan, Prof. Madya Dr. Mohamad Khairi Othman bersama beberapa penjawat hadir bagi mempereratkan hubungan dua hala serta meneroka pelbagai potensi kerjasama dalam bidang pendidikan dan pembangunan profesionalisme warga pendidik.
Dr. Mohamad Khairi berkata, antara agenda utama yang menjadi tumpuan perbincangan ialah pelaksanaan program praktikum bagi pelajar Diploma Pascasiswazah Pendidikan (PGDE) program pesisir untuk semester yang akan datang.
Selain itu, turut dibincangkan ialah tawaran program akademik seperti Doktor Pendidikan (EdD), Sarjana Pendidikan, PGDE dan Diploma Pascasiswazah Pengajaran dan Pembelajaran Pendidikan Tinggi (PGDHELT) dan telah menerima maklum balas positif daripada pihak JPNK dan ILDAN.
Seiring dengan komitmen untuk memperkasa kompetensi warga pendidik di negeri Kelantan, pihak SOE turut menawarkan kursus profesional jangka pendek, termasuk Sijil Profesional Kecemerlangan STEM dan Kursus Pedagogi Interaktif, sebagai inisiatif memperluas peluang pembangunan profesionalisme berterusan.
Program-program ini bukan sahaja menyokong agenda pemerkasaan guru, malah membuka laluan baharu untuk kecemerlangan kerjaya dalam dunia pendidikan masa kini yang semakin mencabar.
“SOE UUM sentiasa komited menjadi rakan strategik kepada agensi-agensi pendidikan negeri dalam memperkasa tenaga pengajar melalui program akademik dan latihan profesional yang relevan serta berimpak tinggi.
“Kami percaya, dengan kolaborasi strategik seperti ini, ia bukan sahaja melonjakkan keupayaan warga pendidik, malah membentuk ekosistem pendidikan negara yang lebih progresif dan kompetitif,” katanya.
Pihak ILDAN dan JPNK turut menyambut baik inisiatif ini dan menyatakan kesediaan untuk mengukuhkan lagi kerjasama dalam pelbagai program pembangunan kompetensi guru dan kepimpinan pendidikan, sejajar dengan aspirasi pendidikan negara.
Kunjungan ini diakhiri dengan sesi pertukaran cenderahati serta perbincangan lanjut ke arah merealisasikan inisiatif strategik yang telah dibincangkan. – Muhd Zulhilmi Haron