STHEM dan PCEB teroka kerjasama strategik dalam industri acara dan MICE
Gambar Pusat Pengajian Pengurusan Pelancongan, Hospitaliti dan Acara (STHEM)
SINTOK, 16 Mac 2026: Pusat Pengajian Pengurusan Pelancongan, Hospitaliti dan Acara (STHEM) telah menerima kunjungan hormat daripada wakil Penang Convention & Exhibition Bureau (PCEB) dalam satu sesi pertemuan yang berlangsung di STHEM, Rabu lalu.
Delegasi PCEB diwakili Ms. Janice dan Ms. Norhaslinda Hanizam hadir bagi memperkenalkan peranan serta fungsi organisasi tersebut dalam membangunkan industri mesyuarat, insentif, persidangan dan pameran (MICE) di Pulau Pinang.

Kunjungan tersebut disambut dan dipengerusikan oleh Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi STHEM, Dr. Norhanim Abdul Razak.
Dr. Norhanim berkata, sesi perbincangan memberi tumpuan kepada potensi kerjasama strategik antara UUM dan PCEB, khususnya dalam pembangunan bakat industri acara dan MICE, perkongsian kepakaran industri, serta peluang kolaborasi dalam penganjuran persidangan, program akademik dan pendedahan industri kepada pelajar.
Selain itu, menurutnya, STHEM turut aktif menjalinkan kerjasama dengan pihak industri bagi memastikan pelajar mendapat pendedahan praktikal yang selari dengan keperluan sebenar sektor pelancongan dan acara profesional.

Katanya, pendekatan ini membolehkan pelajar memahami ekosistem industri acara secara menyeluruh, termasuk peranan penganjur profesional, pengurusan destinasi, serta penglibatan pelbagai pemegang taruh dalam penganjuran acara berskala besar.
“Kunjungan ini diharap dapat memperkukuhkan hubungan antara pihak industri dan akademia, di samping membuka peluang kepada pelajar dan pensyarah STHEM untuk terlibat secara lebih dekat dengan perkembangan industri MICE di Malaysia.
“Melalui jalinan kerjasama seperti ini, STHEM terus komited dalam memperkasa pendidikan berteraskan industri serta menyumbang kepada pembangunan sektor acara dan pelancongan negara,” katanya.
Turut hadir, Pengerusi Program Pengurusan Acara, Dr. Lina Munirah Kamarudin bersama beberapa wakil pensyarah dari STHEM. – Dr. Azizah Ismail



