Education

SULAM Didik Bestari: Menyemai ilmu, menggilap potensi

Berita dan gambar Noor Sa’adah Sabudin

FELDA LAKA SELATAN, 16 Jun 2025: Seramai 199 pelajar kursus BEEBS3053 Isu-Isu Ekonomi Semasa, Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan (SEFB), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah melaksanakan projek Service Learning Malaysia – University for Society (SULAM) di Sekolah Kebangsaan FELDA Laka Selatan, melibatkan penyertaan 288 murid sekolah rendah.

Program bertemakan “SULAM Didik Bestari: Menyemai Ilmu, Menggilap Potensi” ini mendapat sambutan hangat daripada warga sekolah serta komuniti setempat.

Inisiatif ini bertujuan memperkukuh kecemerlangan akademik dan pembangunan sahsiah murid melalui pendekatan pembelajaran yang menyeronokkan dan berimpak tinggi.

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Pengurus FELDA Laka Selatan, Wan Rahim Wan Ishak@Ahmad, yang turut menyempurnakan simbolik penyerahan modul dan bahan pembelajaran kepada pihak sekolah sebagai tanda komitmen terhadap pembangunan pendidikan luar bandar.

Pada sesi pagi, pelajar UUM telah mengendalikan aktiviti interaktif untuk murid-murid berdasarkan kaedah ‘fun learning’ dan ‘game-based learning’ bagi subjek Matematik dan Bahasa Inggeris. Kaedah ini menekankan pendekatan pembelajaran yang menyeronokkan, kreatif dan berasaskan permainan bagi meningkatkan minat serta penguasaan murid dalam kedua-dua subjek penting ini.

Program ini dianjurkan dengan kerjasama SK FELDA Laka Selatan, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), serta pengurusan FELDA Laka Selatan.

Penyelaras kursus, Dr. Zalina Zainal berkata, penglibatan pelajar UUM dalam program ini bukan sahaja memberi peluang kepada mereka mengaplikasikan ilmu secara praktikal, malah memupuk nilai kepimpinan, empati dan komunikasi berkesan.

Menurutnya, penglibatan mereka dalam program ini bukan sahaja memberi peluang untuk mengaplikasikan ilmu secara praktikal, malah memupuk nilai kepimpinan, empati dan komunikasi berkesan.

“Inisiatif ini turut menyokong aspirasi Kementerian Pendidikan Tinggi untuk melahirkan graduan holistik, berdaya saing serta berjiwa masyarakat, sejajar dengan agenda penglibatan universiti dalam pembangunan komuniti,” katanya.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button