Ujian Kompetensi Bahasa Cina berjaya tarik 51 calon
Berita dan gambar oleh Nursyazwani Mohd Kamal
SINTOK, 19 Mei 2025: Unit Pembangunan Profesional (PDU), Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah (SLCP) telah menganjurkan Ujian Kompetensi Bahasa Cina (HSK) Tahap 1 pada 17 Mei lalu dengan penyertaan seramai 51 calon.
Pengurus PDU, Dr. Noor Asbahan berkata, HSK merupakan peperiksaan yang diiktiraf di peringkat antarabangsa bagi mengukur tahap penguasaan Bahasa Mandarin.
Menurutnya, PDU merancang untuk menganjurkan peperiksaan HSK ini secara berkala, sekurang-kurangnya dua kali setahun.
Katanya, Sijil HSK juga memberi kelebihan kepada pelajar yang berminat untuk bekerja di China, selain membantu proses permohonan melanjutkan pengajian dan mendapatkan biasiswa di institusi pengajian tinggi di negara tersebut.
“PDU merupakan satu-satunya pusat peperiksaan HSK di wilayah utara yang dilantik oleh Institut KongZi, Universiti Malaya.
“Penganjuran di UUM ini diharapkan dapat menarik lebih ramai peserta, bukan sahaja dari kalangan pelajar tempatan, tetapi juga daripada masyarakat luar yang berminat untuk meningkatkan kemahiran bahasa mereka demi prospek kerjaya yang lebih luas,” katanya.
Sementara itu, Penyelaras Khidmat Latihan Profesional PDU, Nursyazwani Mohd Kamal berkata, sijil kompetensi ini bukan sahaja menjadi nilai tambah kepada kebolehpasaran graduan, malah dapat membuka peluang kepada mereka untuk berkerjaya di syarikat multinasional yang menetapkan penguasaan Bahasa Mandarin sebagai antara syarat kemasukan.
Katanya, penguasaan Bahasa Mandarin memberi kelebihan besar kepada pelajar bukan Cina dalam menghadapi dunia pekerjaan, dan sijil HSK yang diiktiraf di peringkat antarabangsa ini akan menjadi nilai tambah yang penting.
Pin Wooi berkata, bengkel ini bertujuan untuk memperkenalkan pelajar kepada format peperiksaan serta membantu mereka melalui sesi latih tubi yang memberi tumpuan kepada cara menjawab soalan berformat HSK.
Penganjuran peperiksaan kali ini turut menerima sumbangan sebanyak RM5,000 daripada Persekutuan Agama Buddha Tantrayana Chen Foh Chong Malaysia bagi menggalakkan lebih ramai pelajar menyertai ujian ini.
Seramai 51 calon yang berdaftar untuk Sesi Mei 2025 ini telah menghadiri bengkel strategi menjawab soalan peperiksaan yang dikendalikan oleh dua guru Bahasa Mandarin berpengalaman, Tan Pin Wooi dan Huang Jun.