UUM dan KIAS teroka kolaborasi akademik: Perkasa profesionalisme pendidikan MADANI
Berita dan gambar Muhd Zulhilmi Haron
NILAM PURI, 2 Julai 2025: Komitmen memperkukuh jaringan strategik pendidikan diteruskan oleh Pusat Pengajian Pendidikan (SOE), Universiti Utara Malaysia (UUM) menerusi kunjungan hormat ke Kolej Universiti Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) di kampus KIAS, Nilam Puri.
Kunjungan ini merupakan susulan daripada perbincangan terdahulu berkaitan tawaran program akademik serta peningkatan profesionalisme dalam kalangan pensyarah dan tenaga pengajar di KIAS. Delegasi SOE UUM diketuai oleh Dekan, Prof. Madya Dr. Mohamad Khairi Othman, hadir bagi memperincikan kerjasama dua hala yang menjurus kepada pemantapan kompetensi pendidikan Islam serta pembangunan sumber manusia secara berstruktur.
Timbalan Rektor (Hal Ehwal Akademik dan Penyelidikan) KIAS, Dr. Nurul Akma Mohamed, dalam sesi pertemuan tersebut menyatakan keterbukaan dan komitmen pihak KIAS untuk memperkukuh agenda pendidikan Islam melalui kolaborasi strategik bersama UUM.
Beliau menyifatkan kunjungan ini sebagai langkah signifikan dalam memperkasa pembangunan profesionalisme pensyarah dan meningkatkan kualiti pengajaran serta penyelidikan di KIAS.
Menurutnya, kerjasama dengan institusi seperti UUM mampu memperluas horizon akademik serta menyokong transformasi pendidikan tinggi Islam ke arah lebih mampan dan berdaya saing.
Antara bentuk kolaborasi yang dijangka diketengahkan termasuklah penawaran program akademik seperti Diploma Lepasan Ijazah dalam Pembelajaran dan Pengajaran Pengajian Tinggi (PGDEHELT) dan program pembangunan profesionalisme pensyarah dalam bidang penyelidikan, kaedah pengajaran dan kurikulum kontemporari.
Usaha ini dilihat mampu membuka ruang kepada staf akademik KIAS untuk meningkatkan kelayakan akademik dan memperkukuh kemampuan penyelidikan serta peningkatan kualiti pendidikan MADANI.
Sementara itu, Dr. Mohamad Khairi menegaskan bahawa kerjasama ini penting dalam memupuk ekosistem pendidikan Islam yang lebih berkualiti dan berimpak tinggi, terutamanya dalam melahirkan barisan pendidik dan pentadbir yang bersedia menghadapi cabaran semasa.
“Dengan latar akademik KIAS yang kukuh dalam pendidikan Islam serta jaringan luas UUM dalam latihan keguruan dan kepimpinan pendidikan, kita yakin kolaborasi ini mampu membina generasi pendidik yang bukan sahaja faqih dalam ilmu, tetapi juga cekap dalam pengurusan pendidikan MADANI,” katanya.
Sesi kunjungan ini akan disusuli dengan pemetaan strategi bersama dan penyusunan bentuk kerjasama rasmi yang bakal dimeterai dalam masa terdekat.