Alumni UUM ketengahkan Expressive Arts Therapy untuk KKM
Gambar Ihsan Dr. Maznah Ibrahim
SINTOK, 13 November 2025: Kisah kejayaan Dr. Maznah Ibrahim, alumni Universiti Utara Malaysia (UUM) yang kini berkhidmat sebagai Pegawai Psikologi (Kaunseling) di Hospital Putrajaya, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), menjadi inspirasi kepada ibu-ibu dan komuniti profesional Kesihatan mental negara.
Baru sahaja bergraduasi pada 10 November lalu, beliau kini giat memperkasa kaunseling kesihatan mental melalui inovasi Body-Map Emotion dan Expressive Arts Therapy, hasil penyelidikan yang menghubungkan libat urus strategik antara UUM dan KKM.
Kajian beliau mendapat kelulusan jawatankuasa etika KKM, sekali gus membuka jalan bagi penyelidikan berimpak tinggi yang diterjemahkan terus ke dalam amalan klinikal di hospital.
Di bawah penyeliaan Dr. Azizah Abdullah dari Pusat Pengajian Pendidikan (SOE), penyelidikan Dr. Maznah menggunakan pendekatan Grounded Theory Analysis (GTA), satu kaedah kualitatif secara mendalam yang meneliti pengalaman sebenar para kaunselor dalam mengendalikan sesi bersama kanak-kanak dan remaja dalam mengurus emosi melalui seni dan ekspresi body-map emotions.
Melalui inovasi Body-Map Emotion ini, Dr. Maznah berjaya menghasilkan model terapi ekspresif yang digunakan untuk sesi kaunseling hospital dan komuniti. Hasil inovasi tersebut bukan sahaja memenangi pelbagai anugerah seperti Inovasi Emas (2022) dan Perak (2022 & 2024) dan Tempat Kedua Poster Presentation kategori Allied Health (2025), tetapi turut menjadi asas kepada penerbitan artikel beliau dalam jurnal rasmi World Association for Person-Centred Experiential Counselling & Psychotherapy yang kini dirujuk di secara meluas di peringkat global.
Dedikasi beliau dalam bidang kaunseling psikologi juga diiktiraf apabila menjadi salah seorang finalis Anugerah Cipta Karya 2025 Jabatan Perkhidmatan Awam dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (2023), diikuti Best Practice in Counselling Services (Hospital Setting) Award oleh PERKAMA International.
Anugerah ini disampaikan oleh Menteri Kesihatan Malaysia, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad pada 7 November 2024 yang telah diterima oleh Pengarah Hospital Putrajaya, Dr. Suraya Amir Husin.
Dr. Maznah merupakan Exco Biro Latihan Persatuan Profesion Psikologi Kementerian Kesihatan Malaysia (PSIKEM), berazam untuk memperkukuh jaringan latihan dan pembangunan profesional bagi pegawai psikologi KKM di seluruh negara.
Selain itu, beliau juga menjalani latihan profesional di bawah Play Therapy UK, serta menamatkan lebih 100 jam latihan Expressive Arts Therapy bagi melayakkan diri memohon lesen pengamal antarabangsa bersama International Expressive Arts Therapy Association (IEATA). Penglibatan aktif beliau dalam latihan dan penyelidikan bukan sahaja meningkatkan kecekapan profesional, tetapi turut mengangkat nama UUM sebagai universiti yang melahirkan sarjana berimpak social dan mesra pelanggan. Dr. Maznah juga sering dijemput ke pelbagai platform nasional, termasuk kemunculannya di Bernama TV, menulis artikel psikologi di Berita Harian dan akhbar utama tempatan, membincangkan isu kesejahteraan emosi, keibubapaan dan trauma kanak-kanak.
“UUM bukan sekadar tempat saya menyiapkan PhD, ia membentuk jiwa penyelidik dan pendidik dalam diri saya. Saya masih ingat setiap saat di perpustakaan UUM yang sangat kondusif, dan di Manager Coffee, tempat saya menjamu selera sambil berbincang bersama rakan penyelidik lain. Saya banyak belajar daripada penyelia saya, Dr. Azizah, yang memperkenalkan saya kepada dunia kajian kualitatif dan metodologi Grounded Theory. Ia mengajar saya untuk benar-benar menghargai setiap data sebagai sumber dapatan yang penting.”
“Kajian saya adalah replikasi kajian Dr. Azizah di United Kingdom, tetapi disesuaikan untuk konteks Malaysia, bagi membantu kaunseling kesihatan mental kanak-kanak dan remaja melalui seni dan ekspresi tubuh. Graduasi pada 10 November lalu bukan penamat, tetapi satu permulaan baharu untuk terus menghubungkan ilmu dari Sintok ke seluruh Malaysia dan ke pentas global,” katanya.
Kisah Dr. Maznah Ibrahim membuktikan bahawa kejayaan penyelidikan bukan sekadar tentang memperoleh gelaran, tetapi bagaimana ilmu yang menjaga etika dan praktis professional, dapat diterjemahkan menjadi solusi yang menyentuh kehidupan ramai. – Dr. Azizah Abdullah



