AHSGS santuni 15 pelajar SK Bukit Kayu Hitam sampai sumbangan Bakul Syawal
Berita dan gambar Afiqah Ahmad
BUKIT KAYU HITAM, 8 Mac 2026: Keprihatinan terhadap kebajikan masyarakat khususnya dalam kalangan pelajar sekolah terus dizahirkan apabila Awang Had Salleh Graduate School (AHSGS), Universiti Utara Malaysia (UUM) menganjurkan program Sumbangan Bakul Syawal: Santuni Pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Kayu Hitam sebagai sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial menjelang sambutan Aidilfitri.
Dekan AHSGS, Prof. Madya Dr. Md. Zawawi Abu Bakar berkata, program ini melibatkan seramai 15 pelajar daripada SK Bukit Kayu Hitam yang menerima sumbangan Bakul Syawal bagi membantu meringankan beban keluarga mereka dalam membuat persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri yang bakal tiba.

Menurutnya, penganjuran program ini merupakan salah satu usaha AHSGS dalam menyemai nilai keprihatinan dan semangat berkongsi rezeki dalam kalangan warga universiti serta rakan kolaborasi.
“Program seperti ini bukan sekadar menyampaikan bantuan kepada penerima, tetapi juga menjadi platform untuk mendekatkan institusi pendidikan tinggi dengan masyarakat.
“Ia juga mencerminkan komitmen universiti dalam memainkan peranan aktif menyumbang kepada kesejahteraan komuniti,” katanya.

Pelajar yang menerima sumbangan tersebut terdiri daripada murid berusia 9 hingga 12 tahun melibatkan pelajar Tahap 2 yang telah dikenal pasti oleh pihak sekolah sebagai penerima yang layak.
Inisiatif kebajikan ini diterajui bersama dengan rakan kolaborasi strategik daripada Fast Act Advisory Agency (FAA) melalui Pengurusnya, Noor Azarina Abd Kadir.
Program ini turut mendapat sokongan penuh pihak sekolah yang diketuai oleh Guru Besar, Dr. Khairool Anuar Hashim dalam mengenal pasti murid yang memerlukan bantuan.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pihak Fast Act Advisory Agency atas kesediaan untuk bekerjasama dalam menjayakan program kebajikan ini serta kepada pihak sekolah yang memberikan sokongan penuh sepanjang pelaksanaan program.

Sementara itu, Noor Azarina turut menyatakan harapan agar usaha murni ini dapat memberi sedikit kegembiraan kepada murid terlibat dalam membuat persiapan menyambut Aidilfitri bersama keluarga masing-masing.
Program Sumbangan Bakul Syawal: Santuni Pelajar SK Bukit Kayu Hitam ini bukan sahaja membawa kegembiraan kepada penerima, malah memperlihatkan komitmen berterusan AHSGS bersama rakan kolaborasi dalam menyemarakkan budaya kebajikan, empati dan semangat berkongsi rezeki dalam masyarakat.
Diharapkan inisiatif seumpama ini dapat diteruskan pada masa hadapan bagi memberi manfaat kepada lebih ramai pelajar serta memperkukuh hubungan antara universiti dan komuniti setempat.



